Skip to main content

Salam Maal Hijrah 1443H...

Salam Maal Hijrah buat semua pengunjung blog anggerikdesa. Masa yang begitu cepat berlalu dan kini membawa kita ke tahun 1443H.

Awal Muharam atau Maal Hijrah ini merupakan hari yang sangat penting bagi umat Islam kerana menandakan peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah Islam, iaitu peristiwa penghijrahan Nabi Muhammad S.A.W dari Kota Mekah ke Kota Madinah pada 622 Masihi. Penetapan kalendar Islam dibuat berdasarkan tarikh hijrah Nabi Muhammad S.A.W. bagi mengenangkan betapa pentingnya tarikh hijrah yang menjadi anjakan paradigma dalam sejarah Islam yang mana pada masa ini Rasulullah membentuk kerajaan dengan segala bentuk kesukaran dan akhirnya Islam tersebar ke merata dunia dengan hubungan diplomatik yang terjalin dengan beberapa negara dan penyampaian dakwah Islam.

Hari ini lah hari yang sangat penting itu, 1 Muharam bersamaan dengan 10 Ogos 2021. Mengenang perjuangan hebat Nabi Muhammad SAW dalam membawa dakwah dan syiar Islam. Alhamdulillah, syukur kepada Allah kita masih diberikan nafas oleh Allah untuk sampai ke 1443H ini. Sama ada kita dapat melalui lengkap satu tahun dalam 1443H ini dan seterusnya menyambut kedatangan 1444H...hal ini masih lagi dalam rahsia Allah. Tiada siapapun yang dapat meramalkan dan mengetahui tentang masa akan datang.

Justeru, pada saat kita masih diberikan nafas ini dan sementara waktu yang masih Allah berikan kesempatan ini, maka rebutlah sebanyaknya amalan untuk kita perberatkan timbangan baik kita semasa di sana kelak. Sentiasa ingatkan diri bahawa kehidupan di dunia ini hanya medan untuk kita mengumpul amalan yang diredhai Allah untuk kita bawa bersama ke sana. Kehidupan kita yang sebenar adalah bermula pada hari pertama kita masuk ke kubur-berada di alam barzakh. Di alam sana nanti, kita bersendirian dan tiada siapa yang menemani kita, hanya amal ibadat kita yang menemani sehingga hari kebangkitan kelak. Di saat ini, pertanyaan mungkar dan nakir adalah benar, dan siksa kubur itu adalah benar. Audit diri kita dan tanya diri, adakah cukup amalan kita untuk kita menjawab segala pertanyaan Mungkar Nakir..Allahuakbar.

Berdoalah kepada Allah agar sepanjang tahun 1443H ini, kita terus diberikan Allah rasa yang lebih mencintai akhirat. Bila mana cinta kita pada akhirat melebihi cinta kita kepada dunia, maka kita akan berusaha untuk menambah baik diri dan berusaha untuk meningkatkan amalan. Berdoa agar Allah memberikan kita keinsafan sehingga kita merasakan satu nikmat dan rasa indah yang tidak terucap bila mana kita berjaya melaksanakan amal ibadah secara istiqomah, dan bila mana dunia tidak lagi menjadi keutamaan kita. Bagi urusan dunia, cukuplah sekadar kita menjalankan tanggungjawab sebagai hamba Allah, bekerja untuk mencari rezeki halal untuk kesinambungan kehidupan, untuk bersedekah di jalan Allah dan membantu mereka yang memerlukan. Selebihnya berikan penumpuan berganda kita untuk meningkatkan amalan kita sebagai bekalan kehidupan di sana. Ketepikan soal duniawi yang lebih kepada merajakan dunia, perebutan kuasa, nama, dan pangkat sebaliknya rebutlah kehidupan yang lebih baik di sisi Allah dan kehidupan semasa kita di alam sana kelak. 

Berusaha melaksanakan amanah dan tanggungjawab dalam kerja di jalan yang Allah redhai. Melakukan yang terbaik demi amanah dan tanggungjawab dan bukan untuk mengejar populariti dunia kerana semua itu bersifat sementara semata-mata. Sama-sama kita berdoa kepada Allah agar kita tidak diberikan rasa untuk mengejar populariti. Tiada rasa untuk mendambakan "bulan bintang", sebaliknya bersyukur dengan apa yang Allah beri dan menggunakan segala rezeki Allah di jalan kebaikan. Berusaha mengumpul sebanyak mungkin amalan untuk dibawa ke sana. Sudah pasti masa semakin singkat. Persediaan untuk ke sana perlu diperkemaskan dan ditingkatkan. Risau dan sangat takut tak sempat. Justeru, sentiasa ingatkan diri supaya tidak terbuai dan kalah dengan tuntutan "kegilaan dunia" yang nanti akan membuat kita lupa bahawa kita makin dekat untuk dijemput ke negeri abad.

Bersempena 1 Muharam 1443H ini, sama-sama kita berusaha untuk terus berubah ke arah kebaikan. Berhijrah daripada cara hidup lama kepada cara hidup yang lebih baik di sisi Allah. Yang paling penting, pertamanya adalah kita sentiasa menyedari bahawa kehidupan di dunia ini adalah sementara dan kehidupan yang kekal abadi adalah kehidupan di sana. Kehidupan yang akan bermula bila berpisahnya roh dengan jasad kita. Keduanya, perkemaskan setiap sudut amalan kita, solat di awal waktu, melakukan solat sunat, berpuasa sunat, bersedekah, mengaji Quran, berzikir. Jadikan semua amalan ini sebagai amalan yang istiqomah. Ketiganya, membetulkan hati, ikhlaskan diri dan berusaha untuk melihat semua perkara daripada sudut positif. Belajar untuk redha dan berlapang dada atas segala apa situasi yang Allah hadirkan. Latih diri untuk berdamai dengan semua keadaan. Dan yang terakhir, memperkemaskan dan mengubah tingkah laku dan tutur kata ke arah lebih baik. Berusaha untuk tidak menyakiti hati orang, membuat orang tersinggung dengan perbuatan dan tutur kata kita. Berbuat baik kepada semua orang dan menghindari segala perbuatan tidak baik. Hindari diri daripada sifat sombong, angkuh, riak dan bermegah-megah, juga penyakit hati yang ditakuti, iaitu sikap ujub dalam diri.

InsyaAllah dengan menambahbaik keempat-empat komponen utama ini, hidup kita akan lebih bermakna dan terarah kepada kebaikan, bahagia dan tenang. Semoga Allah terus memberikan kita hidayah dan petunjuk kepada jalan kebaikan dan memudahkan segala perjalanan hidup kita dalam meraih redha Allah untuk bekal perjalanan dan kehidupan kita di sana kelak. Semoga jua Allah sentiasa memelihara dan melindungi diri kita daripada segala musibah dan mara bahaya serta kejahatan. Semoga jua Allah terus mengingatkan kita seandainya kita teralpa. Berdoalah selalu agar Allah akan mengingatkan kita untuk kembali semula kepada kebenaran. Sentiasa ingat hidup ini bukan kita yang tentukan dan kemudikan perjalanan kita, tetapi Allah yang berkuasa menentu dan mengemudikannya. Kita hanya mampu merancang, namun Allah yang menentukannya, jadi sentiasalah meminta dan berdoa kepada Allah.

Sekadar penulisan mengingatkan diri saya sendiri tentang kehidupan, bersempena Maal Hijrah 1443H ini. Harapan saya semoga tulisan yang tidak seberapa ini juga serba sedikit dapat memberikan manfaat buat semua. Semoga Allah jaga dan lindungi kita semua dan meningkatkan darjat kita di sisi-Nya. Sebagai penghujung bicara, saya memetik kata-kata bekas Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad yang diumumkan sebagai tokol Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 2021/1443H. Tan Sri Syaikh Ismail mengingatkan supaya umat Islam mengamalkan konsep hijrah dengan meninggalkan perkara tidak baik dan beralih kepada yang lebih baik.

Salam Hormat,
RZH


Comments

Popular posts from this blog

Kenangan Zaman Permainan Kanak-kanak...

Dalam  hidup masing-masing, semua orang   mempunyai  kenangan  dan  momen  indah yang tersendiri semasa zaman kanak-kanak...ada yang menjadikan kenangan itu sebagai suatu nilai sentimental yang akan terpahat selamanya dalam lipatan kenangan. Saya juga tidak terkecuali. Kenangan permainan saya semasa kanak-kanak dulu memang terlalu istimewa dalam hidup saya...sentiasa segar dan mekar dalam bayangan fikiran sehinggakan terkadang menggamit rasa untuk kembali semula ke masa lampau...andai masa boleh diundur semula kan...saya ingin kembali mengulangi momen2 itu. Semasa zaman kanak2 saya memang sangat aktif bermain dan beraktiviti dengan kawan2...memang lasak betul la. Permainan kami geng kanak2 ni memang meriah betul ibarat satu pesta pula kemeriahannya. Zaman kanak2 dulu saya ni kiranya ketua geng la...haha..gengster pun ya juga (kira gengster baik la kalau dalam cerita hindustan dulu2..haha...sabar aje la) tukang plan itu ini dan confirmnya plan tu akan menjadi dgn me

Peranan Penyambut Tetamu Dalam Penganjuran Majlis Formal

    Penyambut tetamu ( usherette ) adalah orang yang memainkan peranan yang sangat penting dalam menyambut tetamu dan memastikan supaya tetamu dalam sesuatu majlis itu dapat diuruskan dengan baik dan lancar tanpa menimbulkan rasa tidak puas hati, rasa tersinggung dan rasa tidak selesa daripada tetamu yang dijemput. Sebelum pergi jauh lagi tentang peranan penyambut tetamu, mari kita sama-sama fahami dulu definisi 'Penyambut Tetamu'. Secara ringkasnya penyambut tetamu adalah orang yang dilantik dan diberikan tugas dan tanggungjawab untuk menyambut tetamu-tetamu yang dijemput dalam satu-satu majlis, menunjukkan arah dan mengiringi tetamu, serta memastikan keselesaan tetamu terjaga. Tugas menyambut tetamu ini kebiasaannya diletakkan di bawah satu Jawatankuasa yang terdiri daripada sebilangan peyambut tetamu yang mana jumlahnya bergantung kepada berapa ramai tetamu yang perlu diuruskan. Tetamu ini diklasifikasi kepada beberapa kategori, iaitu kategori kehormat dan

Peranan Pegawai Tadbir di Universiti Awam

Buat semua pembaca budiman,  Penulisan ini adalah sekadar pandangan dan pendapat peribadi saya berdasarkan pengalaman yang dilalui sebagai Pegawai Tadbir di Universiti Awam (UA). Walau bagaimanapun, ia mungkin berbeza mengikut pandangan masing-masing, juga mungkin berbeza mengikut governan UA masing-masing. Namun, sekurang-kurangnya penulisan ini dapat membantu untuk memberikan gambaran kepada pembaca dalam mengetahui secara umum mengenai peranan dan tanggungjawab seorang Pegawai Tadbir di UA. Pegawai Tadbir yang dibincangkan dalam penulisan ini adalah Pegawai Tadbir Universiti (PTU). PTU adalah Pegawai yang dikelaskan di bawah Skim Perkhidmatan Pengurusan dan Profesional (P&P). Gred jawatan bermula di Gred 41 dan ke atas. PTU adalah individu yang dilantik oleh pihak berkuasa Universiti untuk menguruskan pelbagai bentuk hal-ehwal pengurusan dan pentadbiran di Pusat Tanggungjawab (PTJ) di mana mereka ditempatkan. Daripada segi kelayakan akademik, PTU ini pe