Skip to main content

Mengapa Seseorang Memilih Bersara Awal...


Baru-baru ini bersembang dengan seorang kawan lama...beliau bercerita tentang keputusannya untuk bersara lebih awal daripada tarikh persaraan sebenar. Saya mula-mulanya agak terkejut, tapi tidak menyoal banyak kerana saya percaya setiap keputusan yang seseorang itu buat terhadap dirinya sudah pasti telah mengambilkira semua aspek penting sebelum satu-satu keputusan muktamad itu dibuat.

Kawan lama saya ini telahpun menghantar permohonannya kepada pihak pentadbiran untuk proses selanjutnya. Tarikh persaraan pilihannya akan tiba dalam tempoh lima bulan lagi. Maksudnya tahun 2020 ini adalah tahun terakhir perkhidmatannya.

Saya tiba-tiba melihat kepada diri saya sendiri...ya betul saya sendiripun memang telah ada perancangan dalam diri saya sejak beberapa tahun ke belakang bahawa saya juga akan bersara awal daripada tarikh persaraan sebenar yang dipilih. Saya setkan bila saya genap perkhidmatan 30 tahun, maka saya ingin memilih untuk berundur daripada dunia kerjaya. Genapnya 30 tahun perkhidmatan itu tinggal dalam beberapa tahun lagi...ya kurang dari 10 tahun lagi, walapun tarikh sebenar persaraan saya tinggal lebih dari 10 tahun lagi, itupun kalau umur panjang.

Perancangan ini adalah perancangan saya dalam dua tahun ke belakang untuk berundur awal daripada dunia karier...tapi saya tidak pasti bagaimana perancangan Allah buat untuk saya. Cuma andai betul-betul saya tekad di hati untuk perancangan ini diizinkan Allah, sudah pasti doa perlu dipanjatkan agar Allah menjadikan hasrat ini sebagai kenyataan. Justeru, saya perlu tanya kepada diri saya, adakah saya betul-betul telah membuat keputusan sebenar terhadap hasrat ini...kalau belum, maka fikirlah sehabisnya dulu...dan kalau sudah, bulatkan hati dan berdoa lah semoga Allah memudahkan urusan seterusnya untuk menjadikan ianya sebagai kenyataan. 

Orait kita kembali dulu kepada perkara pokoknya tentang persaraan tadi. Mengapa agaknya seseorang itu memilih untuk bersara awal...pasti ada sebab dan musababnya. Keputusan untuk bersara awal ini adalah suatu keputusan besar yang perlu dibuat dalam hidup seseorang dan tidak mungkin ianya dibuat begitu saja tanpa satu alasan kukuh dan munasabah, alasan yang sangat konkrit dan relevan kepada diri seseorang itu. Mana mungkin keputusan paling besar dalam hidup boleh dibuat dengan mudah, ibaratnya keputusan berkaitan "soal hidup dan mati"....sudah pasti ianya telah mengambilkira semua perkara supaya nanti keputusan ini tidak disesali selepas persaraan nanti.

Cuba kita sama-sama renungkan, diri kita ini telah sebati dalam dunia pekerjaan ini melebihi 20 tahun atau mungkin 30 tahun, mungkin ada yang mencecah 40 tahun bagi kakitangan pelaksana di peringkat perkeranian yang bekerja di awal umur 20-an contohnya. 

Sebahagian besar masa dalam kehidupan kita ini adalah untuk pekerjaan, urusan mencari rezeki bagi tujuan kesinambungan hidup. Kalau kita lihat, waktu kerja kita secara normalnya adalah mulai pukul 8 pagi hingga 5 petang. Selama 9 jam sehari kita peruntukkan masa kita di tempat kerja. Dan ini belum termasuk lagi soal balik lewat, soal datang bekerja di hujung minggu, soal beraktiviti, berbengkel dan berseminar di hujung minggu dan sebagainya lagi.

Manakala untuk masa peribadi kita di rumah pula, kalau daripada 24 jam sehari masa yang kita ada ditolak dengan 9 jam tadi, masih berbaki 15 jam. Dan jangan lupa, daripada 15 jam itu pula kita perlu tolak masa kita "switch off" daripada segala aktiviti, iaitu masa kita tidur (semua orang akan tidur mengikut masanya). Katakanlah kita ambil tempoh standard untuk masa tidur iaitu antara 6-8 jam. Justeru, baki 15 jam tadi ditolak enam ke lapan jam lagi menjadikan baki masa sebenar kita "berfungsi penuh" adalah lapan atau sembilan jam sahaja. Nah...bukankah sama masa 8 jam atau 9 jam baki "berfungsi penuh" ini dengan 9 jam masa kita peruntukkan di tempat kerja seperti saya nyatakan di atas. Kerana itulah saya menyatakan bahawa untuk membuat keputusan bersara daripada dunia pekerjaan adalah suatu keputusan besar.

Jadinya, bila kembali kepada sebuah keputusan yang perlu dibuat untuk bersara awal, makanya ianya secara jelas suatu yang agak berat...memang sangat 'tough' kepada seseorang untuk membuat keputusan. Justeru, bila seseorang itu telah bulat dan final dalam membuat keputusan, maka kita sebagai orang luar ataupun sahabat perlu hormati sahaja keputusan yang telah dibuat, jangan kita mempertikaikan apa-apa, sebaliknya berikan semangat dan motivasi.

Daripada pemerhatian dan pemikiran saya, saya berpandangan ada beberapa sebab yang menjadikan seseorang itu memilih untuk bersara awal ataupun meninggalkan dunia pekerjaan lebih awal daripada yang dimetrikan awal. 

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan seseorang itu memilih untuk bersara awal. Antaranya adalah:

1. Faktor Kesihatan
Di peringkat usia menghampiri 50 tahun, secara umumnya akan ada gangguan kepada kesihatan kita. Keadaan ini bukan sesuatu yang luar biasa, ia adalah perkara normal dan lumrah dalam kehidupan. Apabila kesihatan tidak mengizinkan, sudah pasti kita lebih memilih untuk "berehat" daripada dunia pekerjaan.

2. Faktor Kekecewaan Bercampur Keegoan & Kestabilan Kewangan 
Faktor kecewa juga adalah antara faktor utama seseorang tidak ingin meneruskan khidmat mereka lagi. Kekecewaan ini boleh dilihat dalam pelbagai situasi, kebiasaannya kecewa apabila merasakan diri tidak dihargai, tidak dipandang dan tidak diberikan peluang untuk kenaikan pangkat. Kebiasaannya situasi ini berlaku apabila seseorang itu sudah di ambang memasuki penghujung kerjaya, contohnya berbaki dalam 10 tahun perkhidmatan lagi. Ditambah pula keadaan kewangan yang telah stabil, pakej pula dengan sikap ego (mungkin) menjadikan mereka memilih untuk meninggalkan dunia pekerjaan.

3. Faktor Stress, Muak dan Bosan
Stress juga boleh menyebabkan semangat dan motivasi kita merudum. Keadaan stress yang tidak berjaya diuruskan dengan baik menjadikan seseorang itu kemurungan dan tidak berminat lagi untuk bekerja. Stress yang keterlaluan boleh memudaratkan seseorang dengan penyakit yang boleh diklasifikasikan dengan "penyakit mental" "kemurungan", "anxiety", dan sebagainya yang akhirnya menjadikan seseorang itu memilih untuk menamatkan perkhidmatan. Akan ada juga berlaku faktor muak dan bosan dengan "hinky pinky" dalam organisasi, keadaan sistem bekerja yang tidak berubah dan statik, bosan dengan gelagat dan tingkahlaku dalam organisasi dan sebagainya lagi berkaitan yang akhirnya menjadikan seseorang itu memutuskan untuk berundur daripada medan pekerjaan.

4. Memiliki Bisnes Yang Berjaya
Seseorang pekerja yang memiliki bisnes yang berjaya di luar sana berkemungkinan akan memilih untuk berhenti daripada kerja "makan gaji" kerana bisnesnya lebih baik dan dapat menampung kehidupannya dengan lebih baik. Bila bisnes telah kukuh, dan sedang di kemuncak, sudah pasti fokus dan masa perlu diberikan sepenuhnya dan kerana itu mereka yang berjaya dalam bisnes memilih untuk mengorbankan "kerja makan gaji" mereka dan menumpu sepenuhnya kepada bisnes.

5. Faktor Peribadi
Terdapat juga antara kita yang memilih untuk bersara awal atas sebab peribadi, antaranya mungkin untuk luangkan masa untuk menggembirakan hati orang tua di kampung, menjaga orang tua di kampung, menjaga anak atau isteri yang tidak sihat dan memerlukan penjagaan rapi, faktor perkahwinan dan suami tidak mengizinkan bekerja, dan sebagainya lagi. Faktor peribadi ini kebiasannya berlaku di penghujung perkhidmatan di mana pada masa itu kedudukan kewangan juga sudah kukuh dan pencen bulanan juga telah boleh diperoleh, termasuk lah bayaran ganjaran persaraan yang akan dibayar pada masa itu. Contohnya, sebahagian orang memilih untuk meluangkan masa, berkhidmat dan menjaga sepenuhnya orang tua di kampung di penghujung usia mereka dan selagi orang tua masih sihat dan masih diberikan hayat oleh Allah.

6. Penumpuan Penuh Kepada Ibadah Hakiki
Di penghujung usia ramai antara kita fokusnya telah lebih ke arah "sana". Dalam usia yang menuju gerbang usia emas dan diri masih kuat dengan usia yang masih berbaki, ada sebahagian orang merasakan sudah cukuplah "urusan dunia' bagi mereka. Maksudnya ada umur yang berbaki ini mereka memilih untuk menumpukan kepada ibadah secara total kepada Allah untuk persiapan menuju ke sana. Banyak aspek dalam soal ibadah yang boleh diterokai, antaranya adalah memperkemaskan soal solat, 
bacaan Al-Quran, punyai masa untuk hadir di majlis ilmu, menyertai usrah, mengimarahkan Surau dan Masjid, terlibat dalam kerja-kerja NGO Islamic. Mungkin juga ada yang berfikir adalah lebih baik dalam usia yang masih berbaki ini sumbangan secara total dialihkan kepada Ibadah. Pada masa ini biarlah diri tenang dan damai dan merasai cukup masa untuk bersama keluarga, mengerjakan ibadah, bersilaturrahim dan sebagainya lagi yang memberikan kedamaian jiwa yang sebenar...lepaskan lah semua rasa sayang dengan kesibukan dunia, populariti, nama dan pangkat...berilah pula masa untuk kesibukan mencari pahala dan redha Allah yang lebih bermakna.

7. Memberi laluan kepada orang Muda

Dalam usia yang telah menghampiri 60-an contohnya, kita tidak lagi secekap dan setangkas dulu untuk terus berada dalam perkhidmatan. Keadaan fizikal kitapun sudah tentu berbeza dengan zaman kita muda. Hakikat ini perlu diterima oleh semua orang tanpa takwilan lagi. Menyedari hakikat bahawa kita tidak produktif seperti dulu lagi untuk menyumbang. Dalam masa yang sama mungkin kita berpendapat bahawa dengan memberikan laluan dan peluang kepada orang muda, itu adalah lebih baik dan lebih bermakna. Anak-anak muda yang jiwanya masih bersemangat untuk bekerja dan masih cergas dan tangkas untuk menyumbang yang terbaik kepada kerja dengan momentum mereka yang masih tinggi. Ada juga orang berfikiran, dalam usia dah menghampiri 60 tahun sudah tidak perlu dan tidak sesuai lagi diri berada dalam tekanan dan kesibukan kerja yang tiada pengakhirannya, resah dan gelisah memikirkan kerja sahaja, sedangkan hakikatnya usia yang berbaki ini semakin singkat untuk kembali kepada Pencipta, risau nanti kita tidak sempat bersedia dalam erti kata bersedia zahir dan batin secara total.

Demikianlah serba sedikit pemerhatian dan pandangan peribadi saya dalam soal persaraan dan penulisan ini sekadar perkongsian jua. Penulisan akan datang saya akan menulis pula tentang mengapa seseorang ingin meneruskan kerjayanya sehingga tiba tarikh persaraan sebenar. Sudah pasti ada sebab musababnya juga yang perlu kita fahami dan hormati.

Semoga tulisan ini bermanfaat buat kita semua. Bagi mereka yang merancang untuk bersara awal, buatlah keputusan yang terbaik buat diri sendiri dan orang terdekat di sekeliling kita dan berdoalah kepada Allah agar memberikan kita petunjuk yang terbaik dalam keputusan besar yang perlu dibuat ini. Semoga kita semua terus diberikan hidayah dan petunjuk oleh Allah...ameen

Salam Hormat,
RZH

Comments

Popular posts from this blog

Kenangan Zaman Permainan Kanak-kanak...

Dalam  hidup masing-masing, semua orang   mempunyai  kenangan  dan  momen  indah yang tersendiri semasa zaman kanak-kanak...ada yang menjadikan kenangan itu sebagai suatu nilai sentimental yang akan terpahat selamanya dalam lipatan kenangan. Saya juga tidak terkecuali. Kenangan permainan saya semasa kanak-kanak dulu memang terlalu istimewa dalam hidup saya...sentiasa segar dan mekar dalam bayangan fikiran sehinggakan terkadang menggamit rasa untuk kembali semula ke masa lampau...andai masa boleh diundur semula kan...saya ingin kembali mengulangi momen2 itu. Semasa zaman kanak2 saya memang sangat aktif bermain dan beraktiviti dengan kawan2...memang lasak betul la. Permainan kami geng kanak2 ni memang meriah betul ibarat satu pesta pula kemeriahannya. Zaman kanak2 dulu saya ni kiranya ketua geng la...haha..gengster pun ya juga (kira gengster baik la kalau dalam cerita hindustan dulu2..haha...sabar aje la) tukang plan itu ini dan confirmnya plan tu akan menjadi dgn me

Peranan Penyambut Tetamu Dalam Penganjuran Majlis Formal

    Penyambut tetamu ( usherette ) adalah orang yang memainkan peranan yang sangat penting dalam menyambut tetamu dan memastikan supaya tetamu dalam sesuatu majlis itu dapat diuruskan dengan baik dan lancar tanpa menimbulkan rasa tidak puas hati, rasa tersinggung dan rasa tidak selesa daripada tetamu yang dijemput. Sebelum pergi jauh lagi tentang peranan penyambut tetamu, mari kita sama-sama fahami dulu definisi 'Penyambut Tetamu'. Secara ringkasnya penyambut tetamu adalah orang yang dilantik dan diberikan tugas dan tanggungjawab untuk menyambut tetamu-tetamu yang dijemput dalam satu-satu majlis, menunjukkan arah dan mengiringi tetamu, serta memastikan keselesaan tetamu terjaga. Tugas menyambut tetamu ini kebiasaannya diletakkan di bawah satu Jawatankuasa yang terdiri daripada sebilangan peyambut tetamu yang mana jumlahnya bergantung kepada berapa ramai tetamu yang perlu diuruskan. Tetamu ini diklasifikasi kepada beberapa kategori, iaitu kategori kehormat dan

Peranan Pegawai Tadbir di Universiti Awam

Buat semua pembaca budiman,  Penulisan ini adalah sekadar pandangan dan pendapat peribadi saya berdasarkan pengalaman yang dilalui sebagai Pegawai Tadbir di Universiti Awam (UA). Walau bagaimanapun, ia mungkin berbeza mengikut pandangan masing-masing, juga mungkin berbeza mengikut governan UA masing-masing. Namun, sekurang-kurangnya penulisan ini dapat membantu untuk memberikan gambaran kepada pembaca dalam mengetahui secara umum mengenai peranan dan tanggungjawab seorang Pegawai Tadbir di UA. Pegawai Tadbir yang dibincangkan dalam penulisan ini adalah Pegawai Tadbir Universiti (PTU). PTU adalah Pegawai yang dikelaskan di bawah Skim Perkhidmatan Pengurusan dan Profesional (P&P). Gred jawatan bermula di Gred 41 dan ke atas. PTU adalah individu yang dilantik oleh pihak berkuasa Universiti untuk menguruskan pelbagai bentuk hal-ehwal pengurusan dan pentadbiran di Pusat Tanggungjawab (PTJ) di mana mereka ditempatkan. Daripada segi kelayakan akademik, PTU ini pe