Skip to main content

Aspek Kepimpinan Yang Sangat Penting Bagi Seseorang Pengurus.


Kepimpinan seseorang pegawai adalah antara aspek yang sangat penting dalam memacu kecemerlangan pentadbiran dan pengurusan seseorang pengurus atau ketua dalam sesebuah organisasi. Kepimpinan ditakrifkan sebagai keupayaan memimpin seseorang pengurus dalam menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka. Keupayaan memimpin ini merangkumi proses perancangan, pengorganisasian, pengarahan, penyelarasan, pemantauan, penyeliaan, dan proses membuat keputusan sebagaimana yang disebut oleh sarjana pengurusan terkenal Henry Fayol.

Daripada penelitian dan pengalaman sebenar yang dilalui, saya mempunyai pandangan tersendiri terhadap perlunya beberapa perkara penting dalam kepimpinan yang perlu ada bagi seseorang pengurus, dan seandainya telah ada masih perlu ditambahbaik dalam memastikan pengurusan dan pentadbiran yang cemerlang dan berkualiti.

Secara umumnya, peranan seorang pengurus dalam sesebuah organisasi adalah sebagai perancang organisasi, simbol identiti dan imej organisasi, pendorong motivasi organisasi, penguasa komunikasi korporat komunikasi, pegawai maklumat organisasi, perunding rujukan permasalahan, penggerak organisasi, pemimpin, pengurus dan pelaksana dalam organisasi, peneraju perubahan, dan inspirasi kepada organisasi.

Kepimpinan cemerlang seseorang pengurus adalah berdasarkan kemahiran penting yang perlu ada dalam menjadi seorang pengurus yang cemerlang, berkualiti, dan disenangi oleh semua peringkat anggota organisasi. Antara komponen yang penting adalah:

1.        Kemahiran komunikasi berkesan
2.        Memiliki tahap Emotional Quotient (EQ) yang tinggi
3.        Keutuhan peribadi dan ketrampilan diri
4.        Memiliki ilmu NLP (Neuro Linguistic Programming) 
           dan mempraktikkan dalam kepimpinan.
5.        Kemahiran Pemikiran Analitikal & Strategik
6.        Kemahiran konseptual
7.        Kemahiran Perundingan
8.        Kemahiran Membuat Keputusan
9.        Pengetahuan dalam protokol dan etiket
10.      Penguasaan ilmu secara berterusan
11.      Keimanan dan ketakwaan

Justeru, sekiranya elemen-elemen ini tiada dalam diri seorang pengurus, bagaimana mungkin seseorang itu boleh berjaya dengan cemerlang dalam menerajui satu-satu organisasi. Dalam penulisan ini, daripada sepuluh (10) perkara yang disenaraikan, saya memilih untuk fokus kepada tiga (3) perkara sahaja untuk seseorang pengurus perlu ada atau perlu meningkatkannya atau membuat penambahbaikan bagi memastikan kewibawaan dan kecemerlangan dalam kepimpinan. Tiga perkara ini adalah kemahiran komunikasi berkesan, keutuhan peribadi dan penampilan diri yang cemerlang, dan memiliki tahap Emotional Quotient yang tinggi bagi seseorang pengurus. Dalam penulisan ini, penumpuan huraian akan lebih diberikan berkaitan dengan aspek keperluan Emotional Quotient yang tinggi (EQ) kepada seseorang pengurus.

Seorang pengurus wajib memperkemaskan dan menambahbaik kemahiran komunikasi berkesan. Kemahiran komunikasi yang baik daripada aspek tutur kata, perbuatan dan tingkahlaku, dan bahasa badan (body language) yang berhemah akan menjadikan kita sebagai pengurus yang dihormati dan disenangi. Seorang pengurus yang mempunyai komunikasi yang berkesan akan mampu menguruskan organisasi dalam semua aspek dan membawa kecemerlangan dalam organisasi berkenaan. Ini kerana kajian telah menyatakan bahawa 75% daripada kegagalan organisasi adalah disebabkan oleh faktor komunikasi. Komunikasi berkesan ini penting dalam produktiviti kerja yang dilaksanakan kerana produktiviti bergantung kepada keupayaan mendengar, berucap/berbicara dan menulis dengan baik. Ia juga penting dalam membentuk hubungan yang baik kerana kejayaan karier seseorang bergantung kepada kepercayaan orang lain yang menghargai kita. Komunikasi berkesan juga menjadikan seseorang pengurus dapat menangani konflik/menguruskan emosi dan menyelesaikan masalah dengan baik. Kejayaan organisasi juga bergantung kepada kejayaan berkomunikasi dengan pelanggan mengenai perkhidmatan dan produk yang dikeluarkan.

Penambahbaikan dalam keutuhan peribadi adalah juga merupakan komponen yang sangat penting kepada seseorang pengurus. Keutuhan peribadi ini boleh dilihat kepada, aspek keimanan, ketakwaan, tidak meninggalkan solat, mempunyai nilai diri yang baik, berbudi pekerti yang baik, berhemah dan bersopan santun, sangat menghormati anggota organisasi di semua peringkat, pendengar yang baik, seorang yang tegas tapi memahami dan fleksibel (budi bicara), tidak bias dan pilih kasih, seorang ketua yang mengamalkan konsep kepimpinan melalui teladan, tidak ego dan sombong, senang dibawa berbincang dan sangat memahami situasi. Pengurus juga perlu mengambilberat tentang staf dan sering bertanya khabar staf, tidak lokek dengan ucapan terima kasih dan penghargaan serta pujian ikhlas untuk memotivasikan dan memberikan semangat, tidak mementingkan diri sendiri, ketua yang bukan jenis bossy dan pushy, mudah memaafkan dan mudah meminta maaf jika tersilap.

Selari dengan ciri-ciri keutuhan peribadi ini, seorang pengurus juga perlu sentiasa menjaga penampilan diri kerana penampilan diri ini adalah gambaran tentang diri seseorang pengurus daripada hujung rambut sehingga hujung kaki, seperti cara kita berpakaian, penjagaan kebersihan diri, perilaku, cara bercakap, imej diri, perwatakan dan keperibadian. Di peringkat permulaan, penampilan diri yang baik akan dapat menggamit dan membina kepercayaan dan keyakinan orang lain kepada kita untuk memimpin, dan sudah pasti selepas itu ia perlu dilengkapkan dengan kompetensi diri pengurus. Inilah antara ciri-ciri keutuhan peribadi seorang pengurus yang perlu ada dalam diri seorang pengurus. Kerana itu, seorang pengurus yang tidak memiliki keutuhan peribadi dan penampilan diri yang cemerlang perlu berusaha untuk menambahbaiknya demi kecemerlangan diri dan organisasi.



Seorang pengurus atau ketua juga perlu meningkatkan dan menambahbaik aspek Kecerdasan Emosi (Emotional Quotient) dalam diri mereka. EQ adalah satu term yang merujuk kepada kemampuan seseorang dalam menguruskan emosi dan perasaannya. Kemampuan mengenali perasaan sendiri, perasaan orang lain dan mengawal perasaan dan emosi diri sendiri dan orang lain, kesanggupan dalam mengendalikan dorongan hati dan perasaan sendiri, kemampuan memahami perasaan orang lain (empati). Ia juga mempunyai perkaitan dengan kemampuan seseorang dalam memotivasikan diri sendiri dan diri orang lain, dan ketahanan dalam menghadapi kegagalan. Lima Dimensi EQ adalah Kesedaran diri (self-awareness), Kawalan diri (self-regulation), Motivasi diri (motivation), Empati (Emphaty), Kemahiran sosial (Social skills).

Sekadar menarik perhatian semua mengenai gambaran berkaitan tahap IQ (Intelligence Quotient) dan EQ yang memberi kesan kepada seseorang dalam realiti kehidupan sebenar. Kebiasaannya mereka yang mempunyai IQ yang tinggi ini akan cemerlang dan hebat dalam menghasilkan kualiti kerja, namun demikian kelemahan akan dapat dikesan daripada aspek sosial pergaulan, menjaga hubungan dan rundingan. Manakala mereka yang mempunyai EQ yang tinggi pula akan dilihat cemerlang dan hebat dalam menjaga perhubungan dan pergaulan, lebih memahami dan fleksibel dalam membuat keputusan kerana mereka mengambil kira soal hati dan perasaan juga emosi orang lain. Kerana itulah dikatakan mereka yang mempunyai EQ yang tinggi ini juga adalah mereka yang lebih popular, disenangi dan mendapat tempat di hati semua orang.

Perkembangan dunia hari ini memerlukan organisasi mempunyai pemimpin yang mempunyai tahap EQ yang tinggi dalam kepimpinannya, dan bukan hanya setakat mempunyai tahap IQ yang baik. Para pengkaji mengatakan bahawa 80% kejayaan di tempat kerja bergantung kepada EQ sementara hanya 20% bergantung kepada IQ (Martinez, 19197 & Kirch, Tucker, Kirch, 2001).

Pada pandangan saya EQ itu boleh dikuasai oleh semua orang tanpa mengira tahap IQ nya kerana EQ ini bergantung kepada tahap kawalan emosi, hati dan perasaan seseorang itu. Semakin bagus seseorang itu mengawal tahap emosi maka semakin tinggi la tahap EQ yang dimiliki oleh individu berkenaan. Semakin bagus seseorang itu memiliki ciri-ciri diri  dan nilai-nilai murni dalam kehidupan, dan penguasaan komunikasi yang baik maka semakin baik lah tahap EQ nya. EQ adalah elemen penting untuk mewujudkan keadaan di tempat kerja yang produktif dan harmoni. Ia sangat penting dalam menangani soal hati dan perasaan pekerja yang berlaku dalam organisasi apabila berhadapan dengan satu-satu masalah.
Secara peribadinya, saya ingin berkongsi pandangan saya mengenai mengapa pentingnya dimensi EQ ini dalam urusan kerja. Saya pecahkan kepada dua peringkat, iaitu peringkat ketua dan peringkat staf seliaan.

Di peringkat pengurus atau ketua mengapa seseorang pengurus atau ketua itu perlu mempunyai tahap EQ yang tinggi:

1. Ketua memainkan peranan dalam menggambling semua staf di bawah seliaannya untuk melaksanakan kerja bagi mencapai objektif organisasi. Sekiranya Ketua tidak mempunyai EQ yang tinggi bagaimana mungkin beliau dapat memberikan motivasi dan inspirasi dan "membeli hati dan jiwa" staf seliaannya agar dapat sama-sama melakukan kerja dengan baik dan mengamalkan konsep "kerja itu ibadah" yang nanti dikaitkan dengan soal keikhlasan dalam kerja dan bukan menjalankan kerja kerana "terpaksa". Seorang ketua yang dapat "membeli hati dan jiwa" staf seliaannya akan lebih mendapat kerjasama dan komitmen daripada staf berbanding ketua yang hanya berorintasikan matlamat sahaja tanpa mengambil kira soal hati dan perasaan dan emosi staf seliaanya. 

2. Ketua memainkan peranan dalam membuat keputusan. Sekiranya mempunyai tahap EQ yang rendah seseorang ketua berkemungkinan cenderung untuk membuat keputusan mengikut keperluan pemikirannya yang berlandaskan IQ semata-mata bagi tujuan mencapai objektif organisasi tanpa mengambilkira tahap penerimaan staf seliaan, tahap kepuasan hati staf yang akhirnya memberikan rasa tidak gembira staf dengan sistem atau budaya kerja yang ada dalam organisasi yang dipimpin oleh ketua yang rendah tahap EQ nya.

3. Ketua juga memainkan peranan dalam menyelesaikan masalah dan konflik dalam organisasi. Sekiranya tahap EQ yang rendah, bagaimana mungkin seseorang ketua mampu untuk menyelesaikan masalah dan konflik dengan baik kerana umum mengetahui bahawa masalah dan konflik ini selalunya timbul disebabkan oleh ketidakpuasan hati yang berlaku. Justeru, untuk menanganinya pastilah ia melibatkan kebijaksanaan ketua dalam mengendalikan hati dan perasaan.

5. EQ yang tinggi juga akan menjamin aspek kawalan diri yang baik dengan menjaga sikap dan tingkahlaku supaya terus mempunyai nilai2 murni yang baik dan saling faham memahami dan hormat menghormati dan memberikan khidmat yang terbaik dan berkualiti kepada ketua, sesama rakan sekerja dan pelanggan. Pengurus yang mempunyai EQ yang tinggi pandai membina dan dan menjaga hubungan.
6. Tahap EQ yang tinggi juga akan menyebabkan pengurus dapat mengendalikan tekanan kerja dengan baik dan ini akan memberikan kesan yang positif kepada diri dan kesihatan. Kita semua tahu emosi yang tidak stabil dan tekanan kerja yang tinggi akan memberikan kesan kepada tahap kesihatan dan ini boleh menjejaskan prestasi kerja seseorang kakitangan. Mungkin masalah cuti sakit dan cuti rehat akan berpanjangan dan mengganggu kelancaran kerja di pejabat.

7. EQ yang tinggi akan menjadikan seseorang pengurus dapat mewujudkan pergaulan sosial yang baik dengan ketua dan rakan setugas, dan saling memahami antara satu sama lain. Apabila hubungan yang baik berlaku sudah pasti organisasi itu mempunyai tahap "team work" yang baik. Kejayaan satu-satu organisasi adalah juga dipengaruhi oleh tahap pemuafakatan dan persefahaman yang tinggi anggota organisasinya.

8. EQ yang tinggi juga akan menjamin tahap responsif pengurus yang baik atas apa jua arahan kerja yang diterima. Pengurus tidak akan mudah melatah atas segala salah faham yang berlaku dan sentiasa rasional dalam menerima teguran dan positif dalam menghadapi apa jua kegagalan.

Justeru, elemen EQ dan IQ ini merupakan elemen yang sangat penting dalam menjamin prestasi kerja yang cemerlang, hebat dan berkualiti. Mengikut kajian juga mereka yang mempunyai EQ yang tinggi adalah mereka yang mempunyai potensi kepimpinan yang tinggi. Kerana itu dapat dilihat kini kebanyakan syarikat-syarikat gergasi telah menetapkan syarat supaya pekerja yang mereka ambil perlulah melepasi tahap EQ yang ditetapkan. Tahap EQ seseorang sebenarnya lebih memberikan impak yang besar kepada organisasi.

Kesimpulannya daripada penulisan ini, saya berpendapat ketiga-tiga komponen sebagaimana yang dihuraikan dalam penulisan ini merupakan komponen utama yang menjadi teras kepada kewibawaan, keterserlahan dan ketokohan seseorang dalam memimpin dan menerajui satu-satu organisasi di pelbagai peringkat kepimpinan. Kerana itu, keperluan komponen teras ini perlulah dipastikan ada dalam setiap pengurus dan usaha untuk penambahbaikan perlu dibuat segera bagi memastikan semua pengurus di semua peringkat kepimpinan melengkapkan diri dengan komponen teras ini. Dengan adanya ketiga-tiga komponen teras ini dalam kepimpinan, maka secara sendirinya akan mendorong dan memacu seseorang pengurus itu untuk menguasai kemahiran lain yang diperlukan dalam pengurusan dan pentadbiran.

Salam Hormat.


Sekadar pandangan peribadi.
RZH

Comments

Popular posts from this blog

Kenangan Zaman Permainan Kanak-kanak...

Dalam  hidup masing-masing, semua orang   mempunyai  kenangan  dan  momen  indah yang tersendiri semasa zaman kanak-kanak...ada yang menjadikan kenangan itu sebagai suatu nilai sentimental yang akan terpahat selamanya dalam lipatan kenangan. Saya juga tidak terkecuali. Kenangan permainan saya semasa kanak-kanak dulu memang terlalu istimewa dalam hidup saya...sentiasa segar dan mekar dalam bayangan fikiran sehinggakan terkadang menggamit rasa untuk kembali semula ke masa lampau...andai masa boleh diundur semula kan...saya ingin kembali mengulangi momen2 itu. Semasa zaman kanak2 saya memang sangat aktif bermain dan beraktiviti dengan kawan2...memang lasak betul la. Permainan kami geng kanak2 ni memang meriah betul ibarat satu pesta pula kemeriahannya. Zaman kanak2 dulu saya ni kiranya ketua geng la...haha..gengster pun ya juga (kira gengster baik la kalau dalam cerita hindustan dulu2..haha...sabar aje la) tukang plan itu ini dan confirmnya plan tu akan menjadi dgn me

Peranan Penyambut Tetamu Dalam Penganjuran Majlis Formal

    Penyambut tetamu ( usherette ) adalah orang yang memainkan peranan yang sangat penting dalam menyambut tetamu dan memastikan supaya tetamu dalam sesuatu majlis itu dapat diuruskan dengan baik dan lancar tanpa menimbulkan rasa tidak puas hati, rasa tersinggung dan rasa tidak selesa daripada tetamu yang dijemput. Sebelum pergi jauh lagi tentang peranan penyambut tetamu, mari kita sama-sama fahami dulu definisi 'Penyambut Tetamu'. Secara ringkasnya penyambut tetamu adalah orang yang dilantik dan diberikan tugas dan tanggungjawab untuk menyambut tetamu-tetamu yang dijemput dalam satu-satu majlis, menunjukkan arah dan mengiringi tetamu, serta memastikan keselesaan tetamu terjaga. Tugas menyambut tetamu ini kebiasaannya diletakkan di bawah satu Jawatankuasa yang terdiri daripada sebilangan peyambut tetamu yang mana jumlahnya bergantung kepada berapa ramai tetamu yang perlu diuruskan. Tetamu ini diklasifikasi kepada beberapa kategori, iaitu kategori kehormat dan

Peranan Pegawai Tadbir di Universiti Awam

Buat semua pembaca budiman,  Penulisan ini adalah sekadar pandangan dan pendapat peribadi saya berdasarkan pengalaman yang dilalui sebagai Pegawai Tadbir di Universiti Awam (UA). Walau bagaimanapun, ia mungkin berbeza mengikut pandangan masing-masing, juga mungkin berbeza mengikut governan UA masing-masing. Namun, sekurang-kurangnya penulisan ini dapat membantu untuk memberikan gambaran kepada pembaca dalam mengetahui secara umum mengenai peranan dan tanggungjawab seorang Pegawai Tadbir di UA. Pegawai Tadbir yang dibincangkan dalam penulisan ini adalah Pegawai Tadbir Universiti (PTU). PTU adalah Pegawai yang dikelaskan di bawah Skim Perkhidmatan Pengurusan dan Profesional (P&P). Gred jawatan bermula di Gred 41 dan ke atas. PTU adalah individu yang dilantik oleh pihak berkuasa Universiti untuk menguruskan pelbagai bentuk hal-ehwal pengurusan dan pentadbiran di Pusat Tanggungjawab (PTJ) di mana mereka ditempatkan. Daripada segi kelayakan akademik, PTU ini pe