Skip to main content

Kadang-kadang Kita Keliru Bila Perbuatan Tidak Selari dengan Pembawakan Diri...


Kadang-kadang berlaku fikiran kita jadi keliru dengan sesuatu yang kita lihat dan kita perhatikan. kekeliruan akan muncul apabila berlaku perbuatan tidak sama dengan pembawakan dan personaliti. Kadang-kadang berlaku perbuatan kita tidak sama dengan apa yang sering kita perkatakan dan ini boleh mewujudkan tanggapan tertentu dalam komunikasi yang mungkin boleh mencemarkan imej kita. Itu agaknya, benar sekali orang kata, sekiranya kita tidak mahu diperkatakan oleh orang lain, makanya kita perlu praktikkan apa yang kita katakan.

"Practice what you preach or change your speech"

Aduhai, risau juga dengan pepatah ini. Risau tersalah langkah nanti diri sendiri juga boleh termasuk dalam situasi ini. Kerana itu, dalam hidup ini kita perlu sentiasa berdoa pada Allah, agar Allah sentiasa menjaga kita daripada tergelincir daripada landasan. Dan kalau sekalipun tergelincir, insyaAllah dipandu naik semula ke track.

Kembali kepada pernyataan di atas, kita ni sebagai orang yang kenal rapat contohnya, atau yang melihat, nak diketepikan begitu saja apa yang hadir di fikiran, serasa macam tak semudah itu. Namun, nak difikirkan sangat hati kecil pula berbisik "engkau dah kenapa, biar saja lah dia, kehidupan dia dan diri dia dan tak ada kaitan pun dengan engkau". Allah pulak...itu yang rasa keliru itu akhirnya "dikunyah dan ditelan" begitu saja...

Tapi dalam Islam, kita dituntut untuk tegur menegur dan ingat-mengingati antara satu sama lain  kalau ada perkara yang tidak baik kita kesan. Kita boleh menegur secara berhemah dan ikhlas "antara hati ke hati". Konsepnya lebih kepada menegur secara diam dan tidak sampai menjatuhkan aib kepada orang berkenaan.

Manakan mungkin fikiran kita tak keliru kalau kita berhadapan dengan situasi sebegini:

1. Seorang yang sentiasa bercakap tentang dakwah, tentang konsep keikhlasan dan kejujuran, tentang konsep kerja sebagai ibadah, mempamerkan gaya yang sangat muslimah, segala tutur kata juga hanya berkaitan agama dan kehidupan mengikut lunas yang diajar dalam agama...tapi telah "terlajak laku" dan mungkin terlepas pandang dengan perbuatan yang secara logiknya tidak wajar dilakukan. Contohnya suka menayangkan di media sosial perbuatan baik yang dilakukan, seperti memberikan sedekah, sumbangan, pertolongan dan seumpamanya. Dalam hal ini, berlaku sedikit konflik dalam diri orang yang melihat kerana perbuatan yang dilakukan itu tidak selari dengan pembawakan dan personaliti yang dipamerkan, dan sudah tentu tidak selari dengan tuntutan agama.

Sudahnya hati kita sebagai orang melihat kembali dipujuk supaya bersangka baik, walaupun hakikatnya jauh di sudut hati memang menimbulkan persoalan di manakah diletakkan konsep keikhlasan dan pegangan diri bahawa segala bentuk ibadah, sama ada sedekah ataupun apa jua kebaikan... biarlah hanya "kita dengan Allah saja". 

2. Seorang yang bila kita lihat sudah "berlebih-lebih" dalam perbuatan dan penampilan sedangkan hakikatnya pembawakan diri sejak awal bukan begitu. Berlebih-lebihan ini merujuk kepada sikap ingin meraih perhatian dan menonjol diri melebihi batas perwatakan sedia ada.  Meraih perhatian dan mengejar sort of populariti tidak kira di medan pertemuan nyata mahupun medan pertemuan secara maya di media sosial dengan berkongsi apa saja untuk tontonan umum, mungkin perkongsian tentang minat, tentang kejayaan dan kehebatan anak-anak, tentang kejayaan diri dsbnya lagi tanpa disedari perbuatan itu mungkin tanpa sedar boleh bertukar kepada ujub, dan riak. Sikap suka mempamer-pamerkan atau menunjuk-nunjuk ini sebenarnya boleh menimbulkan dan mengundang syak wasangka dan persepsi tidak baik. Tambah-tambah lagi bila berlaku perbuatan itu bertentangan dengan pembawakan sedia ada, maka sudah pasti akan menimbulkan salah faham. 

Justeru, sentiasalah ingatkan diri kita agar berpada-pada dalam apa jua yang dikongsikan kerana risau menimbulkan salah faham dan salah sangka daripada orang yang melihat. Mengapa sebenarnya kita perlu beria-ria nak berkongsi di media sosial yang kita buka paparannya untuk umum. Apa niat dan tujuan kita sebenarnya. Mungkin kita berniat untuk memberikan semangat dan dorongan kepada orang lain yang melihat perkongsian kita. Niat kita tu dah betul tetapi kita perlu ingat bahawa apa yang kita kongsikan atau jadikan contoh itu adalah kejayaan kita sendiri yang boleh mengundang tanda tanya daripada orang yang melihat..kita juga perlu tanya hati kecil kita, wajarkah kita melakukan begitu. Dalam hal ini, kuncinya cuma kawalan terhadap perbuatan kita supaya tidak menjadi "berlebih-lebih" ataupun tidak selari dengan pembawakan yang kita pamerkan. Kalau dah memang sikap kita jenissuka "show-off", itu satu bab lain.

3. Seorang yang bila kita perasan semakin menunjuk-nunjuk "secara berhemah" "kehebatan" dan mula disapa "sikap lupa diri", sedangkan hakikatnya perangai azalinya adalah perangai orang baik-baik dan tinggi keimanannya. Lupa diri ini boleh dikesan daripada perbuatan dan tutur kata kita. Justeru, sentiasa lah kita bermohon kepada Allah agar kita dilindungi daripada kategori ini. Risau kot nanti tanpa kita sedar kita juga begitu..Allahu, semoga Allah jauhkan.

Jadi, seandainya kita berhadapan dengan ketiga2 situasi di atas, apakah agaknya cara terbaik untuk kita kendalikan rasa yang hadir dalam diri kita. Sudah pasti sebagai hamba Allah yang tidak sempurna, akan terdetik di hati kita rasa cuak, rasa pelik, rasa malu sendiri, rasa menyampah mungkin dan pelbagai rasa lagi yang sebenarnya sangat tidak bagus untuk rasa itu terus berada dalam diri.

Bila situasi di atas kita hadapi, mungkin tips ini boleh membantu:

1. Kita kena kawal dan urus perasaan kita dengan baik kerana nanti kita tak mahu menanggung "dosa kering" atas rasa yang hadir dalam diri kita itu. Betul, kita mungkin rasa tak selesa dan berpandangan bahawa perkara sebegitu tidak seharusnya datang daripada seorang yang mempunyai latar belakang agama yang cukup tinggi dan pembawakan diri yang cukup baik. Kalau kita biarkan perasaan kita terus begitu, maka kita pun jatuh kepada kategori yang sama dengan orang itu. Jadinya 2x5 saja. Kalau orang itu kawan baik kita dan kita rapat dengan dia, mungkin kita boleh "slow talk" dengan dia tentang perbuatan sebegitu tak sepatutnya dilakukan kerana ia boleh mendatangkan persepsi pelbagai daripada orang lain yang melihat walaupun niatnya baik. 

2. Jika kita rasa tak mahu campur dan tak "berkemampuan" untuk campur mungkin atas pelbagai sebab, makanya kita beristigfar lah banyak-banyak semoga Allah alihkan perhatian dan rasa kita kepada perkara lain yang lebih bermanfaat. Dalam masa yang sama doakan semoga "orang yang berkenaan" diberikan Allah kesedaran bahawa perbuatan suka menayang-nayang kehebatan dan pencapaian kita di media sosial itu adalah satu perbuatan yang boleh mendatangkan salah faham kepada orang lain juga boleh mencemarkan imej dan reputasi kita. Dalam masa yang sama, perbuatan sebegini juga boleh mendatangkan rasa ujub dalam diri tanpa kita sedari. Walaupun sebenarnya apa yang kita kongsikan itu adalah suatu yang baik, namun kita perlu bijak dan matang dalam membuat perkongsian yang boleh mendatangkan manfaat kepada orang lain tanpa menghadirkan persepsi dan tanda tanya tidak baik daripada mereka yang melihat perkongsian kita.

Sekadar pandangan & penulisan santai.

Salam Hormat,
RZH


Comments

Popular posts from this blog

Kenangan Zaman Permainan Kanak-kanak...

Dalam  hidup masing-masing, semua orang   mempunyai  kenangan  dan  momen  indah yang tersendiri semasa zaman kanak-kanak...ada yang menjadikan kenangan itu sebagai suatu nilai sentimental yang akan terpahat selamanya dalam lipatan kenangan. Saya juga tidak terkecuali. Kenangan permainan saya semasa kanak-kanak dulu memang terlalu istimewa dalam hidup saya...sentiasa segar dan mekar dalam bayangan fikiran sehinggakan terkadang menggamit rasa untuk kembali semula ke masa lampau...andai masa boleh diundur semula kan...saya ingin kembali mengulangi momen2 itu. Semasa zaman kanak2 saya memang sangat aktif bermain dan beraktiviti dengan kawan2...memang lasak betul la. Permainan kami geng kanak2 ni memang meriah betul ibarat satu pesta pula kemeriahannya. Zaman kanak2 dulu saya ni kiranya ketua geng la...haha..gengster pun ya juga (kira gengster baik la kalau dalam cerita hindustan dulu2..haha...sabar aje la) tukang plan itu ini dan confirmnya plan tu akan menjadi dgn me

Peranan Penyambut Tetamu Dalam Penganjuran Majlis Formal

    Penyambut tetamu ( usherette ) adalah orang yang memainkan peranan yang sangat penting dalam menyambut tetamu dan memastikan supaya tetamu dalam sesuatu majlis itu dapat diuruskan dengan baik dan lancar tanpa menimbulkan rasa tidak puas hati, rasa tersinggung dan rasa tidak selesa daripada tetamu yang dijemput. Sebelum pergi jauh lagi tentang peranan penyambut tetamu, mari kita sama-sama fahami dulu definisi 'Penyambut Tetamu'. Secara ringkasnya penyambut tetamu adalah orang yang dilantik dan diberikan tugas dan tanggungjawab untuk menyambut tetamu-tetamu yang dijemput dalam satu-satu majlis, menunjukkan arah dan mengiringi tetamu, serta memastikan keselesaan tetamu terjaga. Tugas menyambut tetamu ini kebiasaannya diletakkan di bawah satu Jawatankuasa yang terdiri daripada sebilangan peyambut tetamu yang mana jumlahnya bergantung kepada berapa ramai tetamu yang perlu diuruskan. Tetamu ini diklasifikasi kepada beberapa kategori, iaitu kategori kehormat dan

Peranan Pegawai Tadbir di Universiti Awam

Buat semua pembaca budiman,  Penulisan ini adalah sekadar pandangan dan pendapat peribadi saya berdasarkan pengalaman yang dilalui sebagai Pegawai Tadbir di Universiti Awam (UA). Walau bagaimanapun, ia mungkin berbeza mengikut pandangan masing-masing, juga mungkin berbeza mengikut governan UA masing-masing. Namun, sekurang-kurangnya penulisan ini dapat membantu untuk memberikan gambaran kepada pembaca dalam mengetahui secara umum mengenai peranan dan tanggungjawab seorang Pegawai Tadbir di UA. Pegawai Tadbir yang dibincangkan dalam penulisan ini adalah Pegawai Tadbir Universiti (PTU). PTU adalah Pegawai yang dikelaskan di bawah Skim Perkhidmatan Pengurusan dan Profesional (P&P). Gred jawatan bermula di Gred 41 dan ke atas. PTU adalah individu yang dilantik oleh pihak berkuasa Universiti untuk menguruskan pelbagai bentuk hal-ehwal pengurusan dan pentadbiran di Pusat Tanggungjawab (PTJ) di mana mereka ditempatkan. Daripada segi kelayakan akademik, PTU ini pe