Skip to main content

Selamat Jalan Sahabat, Radzuan Hj. Ghazali & Damailah Di Sana...


"Boss, bila nak bagi artikel?"
"Boss emel aje saya, nanti saya majukan kepada editor"
"Nanti la Wan, bila saya dah rasa nak bagi artikel nanti saya bagi Wan ya", balas saya sambil tersenyum.

Teringat perbualan dengan Wan hampir setahun yang lalu. Selepas tu, selalu juga Wan bertanya tentang artikel, tapi saya yang belum berkesempatan.

Wan adalah seorang sahabat, juga rakan sekerja merangkap subordinat (semasa saya bertugas di PKK beberapa tahun lalu). Sebagai seorang sahabat, Wan saya kenali sejak saya berkhidmat di UKM hampir 23 tahun yang lalu. Jiwanya memang jiwa media. Kepakarannya memang dalam media. Sebelum bekerja di UKM, beliau pernah bekerja dengan pihak akhbar kalau tak salah saya. Orangnya mempunyai jaringan yang sangat hebat dengan media. Pendek kata Wan ni terkenal namanya dalam kalangan orang media. Orang media yang masuk ke UKM untuk cover acara-acara UKM datang melalui jemputan yang dihantar oleh Wan.

Terimbau juga dulu tahun 2014, saya diminta bertugas di PKK (Pusingan kerja rutin). Masa tu rasa saya Wan telah hampir dua tahun tinggalkan PKK dan bertugas di Hadhari. Setelah saya ditempatkan bertugas di PKK, saya memikirkan Wan seharusnya perlu dibawa balik ke PKK bila dilihat kepada kepakaran dan jiwanya dalam media dan kesesuaiannya memang di PKK. Saya membuat permohonan untuk Wan dibawa semula ke PKK dan alhamdulillah permohonan saya diluluskan, Wan kembali ke PKK dan meneruskan rutin kerja beliau menghubungkan UKM dengan media sehingga kini dan rupanya sehingga ke penghujung nyawanya.

Mengimbau kembali, Wan sesekali akan text bertanya khabar saya dan mengkhabarkan berita-berita terkini. 

Pada 11 Februari 2020, Wan menghantar mesej:
"Salam Bos....masuk wad CCU Tingkat 6, Katil 7....mlm tadi...ada sikit sakit jantung..."

Masa ni saya masih di Kampus Kuala Lumpur. Terus keesokannya saya  mengajak rakan-rakan seperjuangan di sana untuk pergi ziarah Wan. Kami pergi ramai-ramai untuk berikan Wan sokongan dan semangat dan kami ingin signalkan bahawa Wan ini orang baik kerana itu semua rakan-rakan akan sentiasa di sisi bila Wan tidak sihat. Sebelum tu Wan telah beberapa kali juga keluar masuk hospital atas penyakit jantung beliau. Permulaan dapat kesan jantung ni masa tu rasanya saya di penghujung berkhidmat di PKK..lama juga Wan ditahan di wad dan diminta berehat di rumah.

Terkini, pada tahun ini ada lah juga saya terima mesej-mesej Wan bertanya khabar, mengkhabarkan tentang pertukaran pegawai, menghantar ucapan tahniah atas kenaikan pangkat saya 3 bulan yang lalu. Sebelum tu Wan ada juga memaklumkan kepada saya berita  Pengarah PKK dilamar agensi luar, dan dengan nada bergurau mengajak saya balik ke PKK, "

Saya ni memang jenis ambil masa lama untuk delete satu-satu mesej dalam WhatsApp. Justeru, mesej-mesej Wan dalam WhatsApp ni memang masih ada. Biar lah mesej-mesej ini saya kekalkan dalam perisian WhatsApp ini sebagai kenangan buat seorang sahabat.

Kini Wan telah pergi buat selama-lamanya meninggalkan rakan-rakan semua. Wan telah dijemput menemui Ilahi pada 9 November 2020 (Isnin) bersamaan 23 Rabiulawal 1442H dalam usia 53 tahun. Wan pergi meninggalkan isteri dan empat orang anak, keluarga, saudara-mara, dan rakan-rakan seperjuangan yang semuanya terkejut dengan pemergian Wan secara mengejut ini.


Saya sebenarnya menerima mesej daripada mantan p.a. saya semasa di PKK dulu pada pukul 1.26 pagi. Namun pada masa itu saya dah tidur.

"Assalam puan. Sorry ganggu.  Nak maklumkan Encik Radzuan dah meninggal baru sebentar tadi serangan jantung".

Mesej ini saya baca pada pada awal pagi setelah bangun dari tidur...Allahuakbar, saya terkedu, terkejut membacanya. Saya terduduk di birai katil senyap seketika. Baru dua hari lepas saya berkomunikasi dengan dia. Hari Sabtu, 7 November kiranya kali terakhir saya berkomunikasi dengan Wan di WhatsApp bertanyakan kaba dan bercakap tentang artikel untuk dihantar ke akhbar, dan pagi ini saya mendapat berita dia telah tiada...

Pengakhiran jasad Wad adalah di Surau Abdul Rahman Auf, Seksyen 3. Jenazah Wan yang telah siap dikapan dibawa dari Hospital Serdang dan disolatkan di surau ini. Ramai sungguh sahabat handai datang memberikan penghormatan untuk perjalanan terakhir Wan ke alam sana. Kami semua secara bergilir menatap wajah Wan buat kali yang terakhir...kini tubuh Wan terbujur kaku di pembaringan sedangkan tubuh ini semalam masih bergerak dan bercakap seperti biasa. Allahuakbar...hati rasa sungguh sayu. Hati bergetar menahan tangisan. Sayu saya melihat tangisan dan kesedihan yang tidak terucap anak-anak arwah...juga saya sempat juga berbual dengan isteri arwah, Akmar yang memang tidak asing bagi saya masa saya bertugas di PKK. Selalu juga jumpa Akmar masa tu.

Wan,
Sesungguhnya, kami semua rakan-rakan seperjuangan sangat terkejut dengan berita pemergian Wan. WhatsApp group Wacana dan WhatsApp group Bicara dibanjiri penuh dengan ucapan takziah buat Wan. Ramai juga yang memberikan ucapan takziah di Facebook Wan dengan memahatkan kenangan gambar mereka bersama Wan. 

Selepas ini, tiada lagi mesej akan diterima daripada Wan dan tiada lagi kelibat Wan akan kelihatan di UKM atau di mana jua. Tiada lagi usik-mengusik dan gurau senda Wan dengan rakan-rakan, dan paling terkesan rasa sebak di hati bila teringat kegigihan dan ketekunan Wan dengan "dunia keratan akhbar", berkongsi keratan-keratan akhbar pada setiap awal pagi. Kini semuanya hanya tinggal kenangan. Wan tinggalkan kenangan terindah buat kami semua dengan jiwanya pada media yang tidak mungkin dapat dilupakan.. Wan dengan media dan akhbar bagai aur dengan tebing, juga bagai jari dengan cincin. 

Bercerita tentang keratan akhbar yang sering dikongsi Wan pada setiap hari tanpa gagal. Mungkin ramai yang tidak tahu apa yang Wan lakukan di sebalik perkongsian itu kerana yang muncul di depan mata kita hanyalah perkongsian keratan akhbar itu, tapi kita tak nampak apa usaha dan kegigihan, juga pengorbanan yang Wan berikan di sebalik tugas-tugas itu. Wan sebenarnya seawal 6 pagi sebaik sahaja selepas subuh Wan akan keluar rumah untuk pergi mengambil sendiri langganan akhbar harian di kedai di Seksyen 3. 

Wan seterusnya akan tekun membelek helaian demi helaian, akhbar demi akhbar untuk mencari berita tentang apa jua yang berkaitan dengan UKM yang ada di dada akhbar untuk dikongsikan di awal pagi di whatsApp group Pengurusan Universiti Dekan & Pengarah (Group Bicara) juga WhatsApp group Pegawai P&P (Group Wacana). Wan lakukan ini bukan kerana terpaksa atau kerana tugasnya semata-mata, tapi dia lakukan kerana "Media ini jiwanya", media ini minatnya dan semangatnya...sehingga kenangan ini Wan benamkan kukuh dalam hati kita semua. Biarlah semangat dan jiwa Wan terhadap media ini terus segar dalam hati kita semua...

Sahabat-sahabat menyifatkan Wan seorang sahabat yang sangat baik, straight forward orangnya, sangat humble, sangat mempermudahkan orang, suka bertanya khabar kawan-kawan dan suka bergurau. ya betul, baik sangat orangnya.

Demikianlah sedikit coretan kenangan saya buat Wan. Begitu lah cerita kehidupan kita ini yang akan berakhir dengan penamatnya kematian. Cuma dulu dan kendian saja yang membezakan. Hari ini sahabat kita yang dijemput dan hari esok akan tiba saat kita pula...Allahuakbar, semoga Allah menjemput kita semua dalam keadaan Husnul Khotimah.

Bicara akhir saya buat Wan...

Wan...
Begitu ramai sahabatmu yang mengiringi perjalananmu
menyaksikan betapa mudah dan lancarnya urusan jenazahmu
Semuanya menghadiahkanmu bacaan Al-Fatihah  
Sahabatmu jua membacakan Yaasin
Mendoakan rohmu ditempatkan bersama para solihi
Wangi kubur Wan...

Wan...
Semoga Allah lapangkan kuburmu,
Sejukkan pusaramu
diampuni segala dosamu
dihindari dari siksa kubur

Wan...
Tenanglah di sana tempat disemadikan
Beradu panjang di pembaringan 
Dunia kita tidak lagi sama
Kami sentiasa titipkan doa 
Moga Allah menjagamu dengan baik di sana...
Aamiin.

Al-Fatihah buat sahabat...
Radzuan Hj. Ghazali



RZH
anggerikdesa
13 November 2020




















Comments

Popular posts from this blog

Kenangan Zaman Permainan Kanak-kanak...

Dalam  hidup masing-masing, semua orang   mempunyai  kenangan  dan  momen  indah yang tersendiri semasa zaman kanak-kanak...ada yang menjadikan kenangan itu sebagai suatu nilai sentimental yang akan terpahat selamanya dalam lipatan kenangan. Saya juga tidak terkecuali. Kenangan permainan saya semasa kanak-kanak dulu memang terlalu istimewa dalam hidup saya...sentiasa segar dan mekar dalam bayangan fikiran sehinggakan terkadang menggamit rasa untuk kembali semula ke masa lampau...andai masa boleh diundur semula kan...saya ingin kembali mengulangi momen2 itu. Semasa zaman kanak2 saya memang sangat aktif bermain dan beraktiviti dengan kawan2...memang lasak betul la. Permainan kami geng kanak2 ni memang meriah betul ibarat satu pesta pula kemeriahannya. Zaman kanak2 dulu saya ni kiranya ketua geng la...haha..gengster pun ya juga (kira gengster baik la kalau dalam cerita hindustan dulu2..haha...sabar aje la) tukang plan itu ini dan confirmnya plan tu akan menjadi dgn me

Peranan Penyambut Tetamu Dalam Penganjuran Majlis Formal

    Penyambut tetamu ( usherette ) adalah orang yang memainkan peranan yang sangat penting dalam menyambut tetamu dan memastikan supaya tetamu dalam sesuatu majlis itu dapat diuruskan dengan baik dan lancar tanpa menimbulkan rasa tidak puas hati, rasa tersinggung dan rasa tidak selesa daripada tetamu yang dijemput. Sebelum pergi jauh lagi tentang peranan penyambut tetamu, mari kita sama-sama fahami dulu definisi 'Penyambut Tetamu'. Secara ringkasnya penyambut tetamu adalah orang yang dilantik dan diberikan tugas dan tanggungjawab untuk menyambut tetamu-tetamu yang dijemput dalam satu-satu majlis, menunjukkan arah dan mengiringi tetamu, serta memastikan keselesaan tetamu terjaga. Tugas menyambut tetamu ini kebiasaannya diletakkan di bawah satu Jawatankuasa yang terdiri daripada sebilangan peyambut tetamu yang mana jumlahnya bergantung kepada berapa ramai tetamu yang perlu diuruskan. Tetamu ini diklasifikasi kepada beberapa kategori, iaitu kategori kehormat dan

Peranan Pegawai Tadbir di Universiti Awam

Buat semua pembaca budiman,  Penulisan ini adalah sekadar pandangan dan pendapat peribadi saya berdasarkan pengalaman yang dilalui sebagai Pegawai Tadbir di Universiti Awam (UA). Walau bagaimanapun, ia mungkin berbeza mengikut pandangan masing-masing, juga mungkin berbeza mengikut governan UA masing-masing. Namun, sekurang-kurangnya penulisan ini dapat membantu untuk memberikan gambaran kepada pembaca dalam mengetahui secara umum mengenai peranan dan tanggungjawab seorang Pegawai Tadbir di UA. Pegawai Tadbir yang dibincangkan dalam penulisan ini adalah Pegawai Tadbir Universiti (PTU). PTU adalah Pegawai yang dikelaskan di bawah Skim Perkhidmatan Pengurusan dan Profesional (P&P). Gred jawatan bermula di Gred 41 dan ke atas. PTU adalah individu yang dilantik oleh pihak berkuasa Universiti untuk menguruskan pelbagai bentuk hal-ehwal pengurusan dan pentadbiran di Pusat Tanggungjawab (PTJ) di mana mereka ditempatkan. Daripada segi kelayakan akademik, PTU ini pe