Skip to main content

Mencari Bahagia Sebenar...


Rasa bahagia itu menjadi dambaan dan keinginan semua orang. Tidak ada seorang manusiapun yang ingin menolak bahagia. Semua orang inginkan kebahagiaan dalam erti kata bahagia yang sebenar.

Apa itu bahagia yang sebenar?


Bahagia yang sebenar adalah bahagia yang dirasai dan dimiliki atas jalan yang Allah redhai. Bahagia sebenar juga adalah bahagia yang kita miliki bukan atas air mata dan kelukaan orang lain. Dengan kata lain, bahagia itu bukan kerana kita mengambil hak atau milik orang lain...Itulah dia bahagia sebenar.


Bagaimana kita nak mencari bahagia sebenar?


Persoalan ini sebenarnya mudah untuk ditulis, tetapi daripada segi pelaksanaan dan realitinya memang menuntut kekuatan iman dan kekuatan hati yang cukup tinggi. Kerana apa? Kerana untuk memperoleh bahagia yang sebenar kita perlu menghadapi dan melepasi ujian, dugaan dan rintangan hidup yang sangat besar.


Kebahagiaan sebenar ini kita akan peroleh bila kita menjaga hubungan yang baik dengan Allah. Untuk mendapat hubungan yang baik dengan Allah, maka kita perlu meletakkan perkara ini sebagai perkara paling utama dalam hidup. Hubungan yang baik dengan Allah inilah yang akan menjadikan kita sentiasa "Allah jaga" daripada segala ujian dan rintangan, di mana kita diberikan Allah kekuatan dan kematangan dalam menguruskan setiap ujian, dan Allah akan memberikan jalan untuk kita meleraikan segala masalah dan kekusutan yang kita hadapi.


Nak jaga hubungan dengan Allah, maka kita perlu berada pada landasan Allah yang kukuh. Setiap apa yang kita lakukan mestilah mengikut syariat Allah dan sudah pasti perlu sentiasa dalam redha-Nya.


Dalam menjaga syariat Allah, perkara utama yang perlu kita lihat adalah solat kita. Solat ini bukan setakat kita memastikan solat lima waktu itu cukup. Tetapi juga yang paling penting adalah melihat adakah kita betul-betul khusyuk semasa solat...adakah jiwa dan hati kita benar-benar sebulatnya diserahkan kepada Allah semasa solat kita itu..atau 50% sahaja tumpuan kita dalam "berkomunikasi" dengan Allah dan 50% itu melayang entah kemana-mana memikirkan tentang tuntutan dunia. Khusyuk dalam solat adalah perkara penting yang perlu kita lihat...jika merasakan kita masih belum dapat menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah semasa kita solat, maka berusaha lah untuk menambahbaik solat kita.


Mengapa kita perlu khusyuk dalam solat? Khusyuk dalam solat ini adalah apabila kita hati kita sentiasa mengingati Allah dan kekuasaan Allah dan tidak terarah kepada perkara lain semasa kita dalam solat, kita memahami maksud ayat yang kita lafazkan dalam solat. Walau tidak memahami ayat demi ayat, namun sekurang-kurangnya kita faham maksud menyeluruh ayat yang kita baca itu.


Imam Al-Ghazali menyatakan bahawa orang yang tidak khusyuk sembahyangnya adalah dikira sia-sia belaka, kerana tujuan solat itu selain untuk mengingati Allah SWT, solat juga dapat mencegah kita daripada perbuatan keji dan mungkar. Apabila kita lalai ketika menunaikan solat bererti kita tidak akan berasa gerun ketika melakukan perkara keji dan mungkar. Makanya, sekiranya solat lima waktu kita masih tidak mencegah kita daripada perbuatan yang tidak baik, maka marilah kita semak semula solat kita. perbaikilah mana-mana yang perlu kita perbaiki. Sayang sekali sekiranya solat yang kita kerja itu hanya sia-sia jua.


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
'Berapa banyak orang yang mendirikan solat, tetapi yang diperoleh hanya penat dan letih, kerana mereka itu lalai dalam sembahyangnya."

Bila kita tidak khusyuk dalam solat, dalam erti kata lain kita lalai dalam solat, makanya kita tidak dapat menghayati keesaan dan keagungan Allah. Ruang kosong itu akan terisi dengan sifat lalai yang akan membawa fikiran kita menerawang jauh lari daripada tujuan sebenar kita solat itu, iaitu untuk "bertemu" dengan Allah dan mengingati Allah.


Perkara kedua yang perlu kita utamakan untuk kita bahagia dalam hidup adalah menjadikan Al-Quran itu sebagai "teman pendamping rapat"...jadikan membaca Quran itu sebagai zikir wajib kita, iaitu membacanya selepas mengerjakan solat dan membacanya di masa yang lain yang kita peruntukkan untuk bacaan Quran. Sekurang-kurangnya kita disiplinkan diri kita dalam satu hari kita wajib membaca Quran. Al-Quran mempunyai 30 Juz dengan 114 surah. Pilihlah mana-mana surah untuk kita jadikan sebagai wajib untuk kita membacanya, di samping bacaan lazim kita mengikut surah demi surah sehingga kita khatam. Contohnya selepas waktu maghrib atau Isyak kita membaca surah Al-Mulk dan Al-Sajadah. Selepas waktu Subuh kita membaca surah Al-waqiah. Selepas waktu zohor mungkin kita memilih membaca surah Ar-Rahman, setiap malam Jumaat kita wajib membaca surah Yasin. Ini antara contohnya sahaja, sudah pasti tuan/puan semua mempunyai pilihan surah masing-masing.


Al-Quran ini adalah mukjizat besar Allah yang menjadi penunjuk dan cahaya kepada manusia untuk kembali kepada jalan kebenaran Allah SWT. Al-Quran adalah Kitabullah yang terakhir yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad SAW. Kita semua perlu mengambil tahu betapa besar kelebihan yang Allah janjikan kepada hamba-Nya yang membaca Al-Quran secara istiqomah. Antaranya adalah:

1. Al-Quran sebagai syafaat dan pembela di akhirat kelak.
2. Allah mengangkat martabat golongan pembaca Al-Quran.
3. Dengan membaca kita suci Allah ini, kita akan beroleh ketenangan. Jiwa orang yang sering berdamping dengan Al-quran akan sentiasa tenang dan lapang.
4. Setiap satu huruf Al-Quran yang kita sebut akan mendapat sepuluh ganjaran pahala.
5. Al-Quran adalah senjata yang paling mujarab yang melimpah ruah, mata airnya yang tidak mungkin kering, di mana di dalamnya penuh dengan hidayah, rahmat dan zikir.


Daripada Ibnu Umar RA, beliau berkata:

"Rasulullah SAW bersabda, hati manusia akan berkarat seperti besi yang dikaratkan oleh air. Apakah cara untuk menjadikan hati bersinar semula. Katanya dengan banyak mengingati mati dan membaca Al-Quran."


Ketiganya, dalam mendambakan bahagia sebenar, jangan lupa dan jangan terlepas peluang keemasan yang Allah akan berikan rezeki yang hebat buat kita, iaitu bersedekah secara istiqomah. Jadikan lah sedekah ini sebagai teman rapat kita. Bersedekahlah ibarat "kita menabur" rezeki dalam kemampuan kita untuk membantu orang lain yang memerlukan atau dalam kesusahan. Contohnya, mengamalkan sedekah subuh adalah sesuatu yang sangat dituntut. Buatlah secara istiqomah dalam jumlah yang kita mampu dan niatlah apa jua niat baik semasa kita bersedekah itu. Jika kesibukan menjadikan kita tidak mempunyai waktu untuk bersedekah, jangan risau kerana sekarang ini dengan perkembangan teknologi, saluran untuk kita memberikan sedekah lagi mudah, iaitu secara online sahaja. Banyak juga sedekah dalam bentuk Wakaf dan sedekah untuk pembangunan masjid, pondok agama dimohon melalui Facebook dan saluran sosial media yang lain. Justeru, jalan untuk bersedekah ini sekarang telah berada di hujung jari kita. klik sahaja dalam jumlah yang kita mampu. Jangan fikirkan soal "betul atau tidak atau penipuan". Pasang niat kita dengan betul, selebihnya serah saja kepada Allah.


Sedekah ini sebenarnya bukan kepada nilainya tetapi yang penting adalah niat kita yang ikhlas untuk membantu meringankan kesusahan orang lain. Prinsip sedekah yang sangat penting adalah ikhlas, tiada ujub, tiada riak dan tidak menunjuk-nunjuk. Ibaratnya bagai tangan kanan memberi, tangan kiri tak nampak pun. Bersedekahlah dalam keadaan hanya diri kita saja yang tahu kerana sedekah kita itu hanya kerana Allah.


Keempatnya adalah memiliki hati yang baik. Memiliki hati yang baik juga adalah penyebab untuk kita mendapat bahagia yang sebenar. Sentiasa lah berdoa kepada Allah agar kita diberikan hati yang baik. Seandai diri kita masih lagi mempunyai "hati yang hitam" dan tidak dapat dirawat atau dipulihkan lagi, maka berdoalah agar Allah menggantikan kita dengan hati yang baharu.


Hati yang baik akan menjadikan kita sentiasa teruja untuk melalukan kebaikan, sentiasa ingin memudahkan dan membahagiakan orang lain. Hati yang baik tidak akan dengan sengaja menyakiti hati orang lain, tidak akan menyusahkan orang,  melukakan orang lain, dan dengan sengaja merampas hak dan kebahagiaan orang lain. Hati yang baik juga akan menjadikan kita jauh daripada sifat dengki, khianat, melakukan fitnah, menjatuhkan orang lain dengan cara yang tidak betul, dan melakukan apa jua bentuk kejahatan kepada orang lain. Memiliki hati yang baik akan menghindari kita daripada sifat yang rakus kepada "cerita dunia". Cerita dunia ini menjurus kepada gila kuasa, gila pangkat dan nama sampai kita terlupa menjaga tuntutan adat dan agama. Hati yang baik juga akan lebih meletakkan akhirat berbanding duniawi.


Sabda Rasulullah SAW bermaksud:

'Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika sekiranya daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya. Namun, jika sekiranya daging itu rosak, maka rosaklah seluruh anggotanya. Daging yang dimaksudkan ini adalah hati." (Hadis Riwayat Bukhari dari Nu'man Bin Basyir).


Sama-samalah kita berusaha untuk sentiasa membersihkan hati dengan bertaubat dan beristigfar serta sentiasa memanjatkan doa kepada Allah agar memberikan kita HATI YANG BAIK.


Secara kesimpulannya, empat perkara penting untuk kita memiliki kebahagiaan dalam erti kata bahagia yang sebenar adalah menjaga Solat, berdamping rapat (membaca) Al-Quran, Sedekah secara istiqomah, dan memiliki hati yang baik. Semoga kita semua sentiasa Allah lorongkan ke arah jalan kebaikan bagi mendapatkan sebuah kebahagiaan yang sebenar di sisi Allah. Aamiin.


Sekadar bicara hati,
Anggerikdesa
RZH


Comments

Popular posts from this blog

Kenangan Zaman Permainan Kanak-kanak...

Dalam  hidup masing-masing, semua orang   mempunyai  kenangan  dan  momen  indah yang tersendiri semasa zaman kanak-kanak...ada yang menjadikan kenangan itu sebagai suatu nilai sentimental yang akan terpahat selamanya dalam lipatan kenangan. Saya juga tidak terkecuali. Kenangan permainan saya semasa kanak-kanak dulu memang terlalu istimewa dalam hidup saya...sentiasa segar dan mekar dalam bayangan fikiran sehinggakan terkadang menggamit rasa untuk kembali semula ke masa lampau...andai masa boleh diundur semula kan...saya ingin kembali mengulangi momen2 itu. Semasa zaman kanak2 saya memang sangat aktif bermain dan beraktiviti dengan kawan2...memang lasak betul la. Permainan kami geng kanak2 ni memang meriah betul ibarat satu pesta pula kemeriahannya. Zaman kanak2 dulu saya ni kiranya ketua geng la...haha..gengster pun ya juga (kira gengster baik la kalau dalam cerita hindustan dulu2..haha...sabar aje la) tukang plan itu ini dan confirmnya plan tu akan menjadi dgn me

Peranan Penyambut Tetamu Dalam Penganjuran Majlis Formal

    Penyambut tetamu ( usherette ) adalah orang yang memainkan peranan yang sangat penting dalam menyambut tetamu dan memastikan supaya tetamu dalam sesuatu majlis itu dapat diuruskan dengan baik dan lancar tanpa menimbulkan rasa tidak puas hati, rasa tersinggung dan rasa tidak selesa daripada tetamu yang dijemput. Sebelum pergi jauh lagi tentang peranan penyambut tetamu, mari kita sama-sama fahami dulu definisi 'Penyambut Tetamu'. Secara ringkasnya penyambut tetamu adalah orang yang dilantik dan diberikan tugas dan tanggungjawab untuk menyambut tetamu-tetamu yang dijemput dalam satu-satu majlis, menunjukkan arah dan mengiringi tetamu, serta memastikan keselesaan tetamu terjaga. Tugas menyambut tetamu ini kebiasaannya diletakkan di bawah satu Jawatankuasa yang terdiri daripada sebilangan peyambut tetamu yang mana jumlahnya bergantung kepada berapa ramai tetamu yang perlu diuruskan. Tetamu ini diklasifikasi kepada beberapa kategori, iaitu kategori kehormat dan

Peranan Pegawai Tadbir di Universiti Awam

Buat semua pembaca budiman,  Penulisan ini adalah sekadar pandangan dan pendapat peribadi saya berdasarkan pengalaman yang dilalui sebagai Pegawai Tadbir di Universiti Awam (UA). Walau bagaimanapun, ia mungkin berbeza mengikut pandangan masing-masing, juga mungkin berbeza mengikut governan UA masing-masing. Namun, sekurang-kurangnya penulisan ini dapat membantu untuk memberikan gambaran kepada pembaca dalam mengetahui secara umum mengenai peranan dan tanggungjawab seorang Pegawai Tadbir di UA. Pegawai Tadbir yang dibincangkan dalam penulisan ini adalah Pegawai Tadbir Universiti (PTU). PTU adalah Pegawai yang dikelaskan di bawah Skim Perkhidmatan Pengurusan dan Profesional (P&P). Gred jawatan bermula di Gred 41 dan ke atas. PTU adalah individu yang dilantik oleh pihak berkuasa Universiti untuk menguruskan pelbagai bentuk hal-ehwal pengurusan dan pentadbiran di Pusat Tanggungjawab (PTJ) di mana mereka ditempatkan. Daripada segi kelayakan akademik, PTU ini pe