Skip to main content

Kecelaruan politik organisasi...


Sekadar saja-saja menulis tentang tajuk ini. Sudah lama sebenarnya nak menulis tentang ini tetapi tertangguh-tangguh. Tertangguh itu sebab malas nak beratkan fikiran untuk berfikir dan mencerap dengan lebih terperinci. Penulisan yang berat memang agak memenatkan fikiran sebenarnya. Rujukan juga perlu dibuat serba sedikit bagi melengkapkan info. Tapi malam ni idea lancar saje keluar untuk penulisan ini disiapkan. Makanya kita layan...

Okey, mari kita sama-sama fahami apa itu politik. Politik adalah sesuatu yang berkait rapat dengan konsep kuasa, autoriti dan pengaruh. Kerana perebutan kuasa, autoriti dan pengaruh inilah membawa kepada berlakunya politik organisasi yang akhirnya membawa kepada kecelaruan dan percaturan yang tidak sihat.

Politik organisasi bermaksud penggunaan kuasa dan pengaruh dalam organisasi bagi tujuan mencapai tujuan dan agenda tersembunyi. Politik organisasi ini lebih bersifat kepentingan diri tanpa mengambil kira kesan terhadap organisasi secara keseluruhan. Pada mereka biar apa nak jadipun pada organisasi yang penting kehendak dan keinginan mereka tercapai. Serius, saya memang tak faham apa jenis pemikiran lah kalau ada kelompok orang macam ni!

Politik organisasi berlaku apabila terdapat keperluan di mana  satu satu kumpulan atau kelompok ingin berkuasa. Mereka akan melakukan apa saja untuk mempengaruhi orang lain bagi mencapai agenda mereka tanpa mengambil kira soal adab dan maruah diri. Strategi dan taktik-taktik kotor akan dirancang dan dijadikan "senjata" untuk menjatuhkan orang. Pelan tindakan kotor dibangunkan dan dilaksanakan sama ada secara senyap atau secara terang-terangan menyerang dan menyalahkan orang. Dalam peringkat ini, pada meraka tujuan boleh menghalalkan cara kononnya.

Politik organisasi juga timbul disebabkan oleh perubahan dalam aspek tingkahlaku dalam kalangan ahli organisasi yang meletakkan kepentingan diri sebagai agenda utama. Kepentingan diri ini disokong dengan keinginan ingin berkuasa dan membina empayar dalam kumpulan mereka (kronisme). 

Politik dalam organisasi kebiasaannya berlaku atas sebab-sebab yang bersifat negatif. Antaranya adalah sikap gila kuasa, mengampu, tikam belakang, mengadu domba, konflik, perasaan tidak puas hati yang akhirnya mewujudkan pergaduhan dan sebagainya.

Bila membicarakan tentang politik organisasi, saya cenderung untuk melihat perkaitan politik organisasi ini dengan aspek komunikasi dan keperibadian seseorang. Daripada pemerhatian peribadi yang dibuat, saya mempunyai pandangan tersendiri berkaitan perkara ini.

Saya melihat senario politik organisasi ini akan menjadikan seseorang itu lupa tentang adab dan tata susila. Bila terlalu mengejar kehendak dan kegilaan untuk berkuasa dengan menyaksikan kejatuhan orang lain, maka mereka sanggup mengenepi soal adab dan nilai, serta sanggup mencalarkan keperibadian diri sendiri. Dah elok-elok orang tak nampak keburukan kita, tapi bila tutur kata dan perbuatan kita tidak dijaga, makanya menggamit orang melabelkan kita dengan macam-macam label. Jangan salahkan orang kalau kita dilabel, kerana kita sendiri yang "mencarinya" maka mendapatlah.

Mengapa manusia begitu sekali tamakkan kuasa dan pangkat sehingga sanggup memburukkan orang lain untuk mempastikan kejatuhan orang berkenaan. Bangga kah memiliki maruah sebegini, menjadi pemimpin dengan "memijak" dan menjatuhkan orang lain.

Malah, yang paling malang lagi adalah bila kejayaan diperoleh dengan cara menikam dari belakang atau menjatuhkan lawan di luar gelanggang...elok dalam gelanggang takut untuk berdepan, Akhirnya mereka ini sanggup menggunakan apa jua cara untuk menulis surat layang atau emel layang yang bertujuan memburukkan orang. Betapa bermaharajalela menggunakan kata-kata yang kesat dan memaki hamun dalam tulisan. Ciri pemimpin begini kah yang kita inginkan. Sesuka hati menyebarkan berita yang belum pasti lagi benar atau salah dan kemudiannya menyorokkan diri. Bermaruah kah menang di luar gelanggang macam ni!

Dalam mengejar kuasa, nama dan pangkat demi kepentingan diri dan kepentingan kelompok yang dipayungi, perbuatan baling batu sembunyi tangan ni adalah perbuatan yang tidak asing lagi mendominasi politik kotor dalam organisasi. Secara peribadi, pada saya perbuatan baling batu sembunyi tangan ni adalah perbuatan yang paling dayus dan tidak bermaruah. Orang yang berada dalam perangai sebegini sebenarnya tidak layak untuk memimpin! Apatah untuk menjadi ketua, untuk menjadi ahli organisasi pun dia sebenarnya tidak layak. 

Saya pun tertanya-tanya dalam minda, mengapa kelompok ini menolak untuk memilih cara yang profesional. Pada saya, kalau betul kebenaran yang dibawa dan diperjuangkan, maka tampil lah secara bermaruah di gelanggang. Mengapa perlu bersilat dan membuka bunga langkah di luar gelanggang...bukankah ini sikap orang pengecut dan perbuatan yang paling tidak beradab! 

Lagi tidak beradab sekiranya "menerajang" pihak lawan dari arah belakang dan selepas itu lari menyembunyikan diri. Tidak malukah dengan diri sendiri...bila memilih cara yang tidak bermaruah ini. Impian dan cita-cita bukan main lagi tinggi melangit tapi menjatuhkan orang dengan cara yang paling pengecut...orang macam ni ke agaknya kita nak berikan kepercayaan untuk memimpin!

Kecelaruan politik organisasi ini sangat besar impaknya kepada organisasi. Organisasi tidak dapat bertahan dan pergi jauh sekiranya memiliki orang-orang toksik sebegini. Kecelaruan ini juga akan mencalarkan imej dan prestij organisasi di mata pihak luar. Mereka akan melihat kita bersaing dan membina konflik sesama sendiri. Hilang kepercayaan pihak luar untuk meneruskan hubungan dengan organisasi sebegini. Satu kerugian besar seandainya ini berlaku!

Secara kesimpulannya, sebagai manusia yang matang kita sepatutnya meletakkan hemah dan maruah diri di tempat yang paling atas supaya kita sentiasa dipayungi dengan nilai dan keperibadian diri yang baik. Dan yang paling penting, letakkanlah tuntutan agama di depan supaya kita sentiasa ingat bahawa mengkhianati dan membuat fitnah kepada orang adalah suatu perbuatan yang sangat dilarang dalam agama. Meletakkan agama di depan juga penting supaya kita sentiasa ingat bahawa dalam hidup ini ada yang Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui. Ingatlah bahawa apa jua perbuatan kita akan dicatat dan dihisab dan pasti akan menerima pembalasan dari Allah kalau tidak dunia ini makanya di akhirat esok. Cukup-cukup lah menjahati dan mengkhianati orang lain. Sebaiknya kita renunglah kepada diri kita sendiri mana-mana yang masih kurang dan perlu ditambahbaik daripada kita membuang masa "menambah dosa kering" yang tidak terhitung kelak. Takutlah pada pembalasan Allah atas apa saja perbuatan jahat kita. Sayang kalau nanti kita tak sempat mendapat kemaafan daripada orang yang kita khianati bila ajal yang datang menjemput dulu.

Salam Hormat
RZH











Comments

Popular posts from this blog

Kenangan Zaman Permainan Kanak-kanak...

Dalam  hidup masing-masing, semua orang   mempunyai  kenangan  dan  momen  indah yang tersendiri semasa zaman kanak-kanak...ada yang menjadikan kenangan itu sebagai suatu nilai sentimental yang akan terpahat selamanya dalam lipatan kenangan. Saya juga tidak terkecuali. Kenangan permainan saya semasa kanak-kanak dulu memang terlalu istimewa dalam hidup saya...sentiasa segar dan mekar dalam bayangan fikiran sehinggakan terkadang menggamit rasa untuk kembali semula ke masa lampau...andai masa boleh diundur semula kan...saya ingin kembali mengulangi momen2 itu. Semasa zaman kanak2 saya memang sangat aktif bermain dan beraktiviti dengan kawan2...memang lasak betul la. Permainan kami geng kanak2 ni memang meriah betul ibarat satu pesta pula kemeriahannya. Zaman kanak2 dulu saya ni kiranya ketua geng la...haha..gengster pun ya juga (kira gengster baik la kalau dalam cerita hindustan dulu2..haha...sabar aje la) tukang plan itu ini dan confirmnya plan tu akan menjadi dgn me

Peranan Penyambut Tetamu Dalam Penganjuran Majlis Formal

    Penyambut tetamu ( usherette ) adalah orang yang memainkan peranan yang sangat penting dalam menyambut tetamu dan memastikan supaya tetamu dalam sesuatu majlis itu dapat diuruskan dengan baik dan lancar tanpa menimbulkan rasa tidak puas hati, rasa tersinggung dan rasa tidak selesa daripada tetamu yang dijemput. Sebelum pergi jauh lagi tentang peranan penyambut tetamu, mari kita sama-sama fahami dulu definisi 'Penyambut Tetamu'. Secara ringkasnya penyambut tetamu adalah orang yang dilantik dan diberikan tugas dan tanggungjawab untuk menyambut tetamu-tetamu yang dijemput dalam satu-satu majlis, menunjukkan arah dan mengiringi tetamu, serta memastikan keselesaan tetamu terjaga. Tugas menyambut tetamu ini kebiasaannya diletakkan di bawah satu Jawatankuasa yang terdiri daripada sebilangan peyambut tetamu yang mana jumlahnya bergantung kepada berapa ramai tetamu yang perlu diuruskan. Tetamu ini diklasifikasi kepada beberapa kategori, iaitu kategori kehormat dan

Peranan Pegawai Tadbir di Universiti Awam

Buat semua pembaca budiman,  Penulisan ini adalah sekadar pandangan dan pendapat peribadi saya berdasarkan pengalaman yang dilalui sebagai Pegawai Tadbir di Universiti Awam (UA). Walau bagaimanapun, ia mungkin berbeza mengikut pandangan masing-masing, juga mungkin berbeza mengikut governan UA masing-masing. Namun, sekurang-kurangnya penulisan ini dapat membantu untuk memberikan gambaran kepada pembaca dalam mengetahui secara umum mengenai peranan dan tanggungjawab seorang Pegawai Tadbir di UA. Pegawai Tadbir yang dibincangkan dalam penulisan ini adalah Pegawai Tadbir Universiti (PTU). PTU adalah Pegawai yang dikelaskan di bawah Skim Perkhidmatan Pengurusan dan Profesional (P&P). Gred jawatan bermula di Gred 41 dan ke atas. PTU adalah individu yang dilantik oleh pihak berkuasa Universiti untuk menguruskan pelbagai bentuk hal-ehwal pengurusan dan pentadbiran di Pusat Tanggungjawab (PTJ) di mana mereka ditempatkan. Daripada segi kelayakan akademik, PTU ini pe