Skip to main content

Di Sebalik Sejuta Wajah Sahabat
















Mengikut Kamus Dewan sahabat adalah kawan, teman, dan taulan.
Manakala sahabat baik atau sahabat sejati pula adalah seorang yang akan sentiasa bersama kita di saat susah dan senang. Sentiasa memberikan semangat di saat kita jatuh dan sentiasa memberikan rasa kebahagiaan dan keceriaan buat kita.  Sahabat sejati boleh diumpamakan sebagai sepohon pohon rendang yang dapat menjadi tempat untuk berteduh.

"Best friend is someone you can trust with your life who has seen the best and worst of you and will be there whenever you need someone to talk to. There is a balance in the relationship between give and take. You feel so in sync with them that you can comfortably share your innermost feelings and thoughts".

Dalam dunia hari ini yang penuh dengan pancaroba dan dugaan, bukan mudah untuk kita mencari seorang sahabat yang benar-benar setia dan memahami. Dunia hari ini adalah dunia di mana semua orang berlumba-lumba untuk duniawi, sehingga semuanya terlupa erti kasih sayang, kesetiaan, simpati, dan empati...sehingga terlupa bahawa di 'dunia' satu lagi kita semua akan dihisab atas segala apa yang kita lakuukan walaupun sebesar biji zarah.
Segalanya sukar dimengertikan kerana penuh dengan kepura-puraan dan penuh dengan 'topeng' di sana sini. Dalam kehidupan hari ini terdapat bermacam-macam ragam manusia yang sukar ditafsirkan. Justeru, andai kita tersilap memilih sahabat makanya meranalah diri kerana sahabat memainkan peranan yang sangat besar dalam menjatuhkan dan menaikkan kita.

Beberapa kata-kata tentang sahabat yang ingin dikongsikan. Ianya memberi makna tersurat dan tersirat...







Ciri-ciri sahabat yang baik adalah:
1. Seorang yang beriman & prinsip persahabatan kerana Allah
2. Ikhlas dan jujur bersahabat
3. Menjadi pendengar setia
4. Menyimpan kerahsiaan
5. Mengambil berat
6. Toleransi



Sepanjang kehidupan kita sudah pasti kita telah ketemu pelbagai jenis sahabat. Pelbagai ragam sahabat yang ditemui ini sudah pasti memberikan kesan kepada hati dan perasaan kita dan membentuk rasa suka dan duka bersama, trauma dan fobia, terkilan dan menyesal.


Alangkah bertuahnya hidup kita seandainya kita memiliki sahabat yang beriman dan bertakwa kepada Allah, serta mengamalkan prinsip persahabatan kerana Allah. Setiap tutur kata dan perbuatannya adalah berlandaskan aturan-aturan yang diredhai Allah dengan nilai-nilai murni dan mulia yang akan membentuknya menjadi insan yang baik. Memiliki sahabat yang sebegini, sudah pasti prinsip-prinsip hidup yang diamal dan dipraktikkannya adalah prinsip hidup yang berada dalam aturan suruhan Allah dan terhindar daripada segala sesuatu yang tidak disukai Allah. Sahabat yang sebegini sangat menitikberatkan tentang dosa dan pahala atas segala perbuatannya. Justeru, tiada apa yang akan dilakukan oleh nya melainkan mencari keredhaan Allah atas setiap perbuatan dan tutur kata. Segala yang baik-baik ini sudah pasti memberikan kesan yang positif kepada kita. Kita juga akan turut digamit dan dipacu untuk terus melakukan kebaikan, mengamalkan prinsip-prinsip yang baik dalam kehidupan untuk mencapai keredhaan dan keberkatan Ilahi.

"Sahabat yang beriman ibarat mentari yang menyinar. Sahabat yang setia bagai pewangi yang mengharumkan. Sahabat sejati menjadi pendorong impian. Sahabat beriman dan berhati mulia membawa kita ke jalan Allah.."

Keimanan bermakna kepercayaan dan pegangan hidup yang kukuh tidak hanya tersemat di hati tetapi ia disertakan dengan ketaatan dan amalan terhadap apa yang diperintah dan meninggalkan apa yang ditegah oleh Allah s.w.t. Manakala ketakwaan pula adalah hasil daripada pentarbiahan keimanan melalui amal soleh.  Maknanya orang yang bertakwa adalah orang yang telah teruji keimanannya sehingga mampu menjadikannya sebagai suluh dalam kehidupannya.  Sahabat sebegini sentiasa melakukan yang terbaik dan berguna dalam setiap tutur kata dan tingkahlakunya.
Sahabat yang beriman kepada Allah, dan percaya kepada Qada dan Qadar Allah tidak akan mengamalkan sikap 'menikam dari belakang'..."gunting dalam lipatan'...'harapkan pegar, pegar makan padi'...mengumpat di belakang, manakala bila di depan dialah penyokong yang tegar dan hebat. Sahabat begini, 'makan dalam' orangnya, dan akan menghancurkan kehidupan kita. Kenali jua sahabat yang suka 'mempergunakan' kita' demi kepentingan mereka...memijak kita untuk mereka naik ke atas dengan cara yang mudah dan 'smart'.



Punyai sahabat yang ikhlas dan  jujur dalam bersahabat bukannya mudah. Beruntunglah kita bila mendapat sahabat sebegini. Kejujuran dan keihlasan akan menenggelamkan segala bentuk 'kerakusan dunia', soal dengki, khianat, cemburu, dan berdendam. Sahabat yang bersahabat dengan kita tanpa ada sebarang kepentingan di sebaliknya, maka Insya Allah dia akan sentiasa bersama kita di saat susah dan senang kita, cuba memahami situasi kita, mengamalkan konsep 'empati', iaitu meletakkan diri dia dalam diri kita. Sebenarnya keikhlasan dan kejujuran ini senang kita kesan kerana ia terpancar daripada air muka seseorang itu. Cara mereka melayan kita, gerak badan mereka, pandangan mata mereka dan memek muka mereka menterjemah segalanya. Justeru, hindarilah sahabat yang hanya memandang dan mengutamakan kita apabila mengharapkan atau berkehendakkan sesuatu daripada kita, meninggalkan kita di saat kita tiada nilai lagi di mata mereka.. Bijaksanalah dalam memilih sahabat agar kita tidak bersahabat dengan orang yang sentiasa 'bermotif dalam apa jua yang dilakukan'.

Memiliki seorang sahabat yang boleh menjadi pendengar setia kepada apa jua masalah kita merupakan suatu bonus yang Allah berikan kepada kita. Bukan mudah untuk kita mendapat seorang yang boleh setia mendengar atas setiap masalah kita, tanpa jemu, tanpa cuak, sentiasa tenang air mukanya dalam melayani setia kata-kata yang kita tuturkan dan luahkan. Hanya sahabat yang benar-benar menyayangi kita sahaja dapat 'menadah' telinga mereka, meluangkan masa dan berusaha seboleh mungkin untuk membantu kita, sekurang-kurangnya dengan menjadi pendengar setia.

Bagaimanakah ciri-ciri pendengar setia itu dapat kita kesan? antaranya adalah melalui:

1. Seluruh perhatian difokuskan kepada wajah kita. Tiada pergerakan lain dibuat dalam tempoh mendengar itu, kecuali perkara yang sangat penting untuk pergerakan berlaku.Tiada keresahan pada riak wajah dipaparkan, dan tiada mempamerkan rasa bosan.

2. Pandangan mata tepat difokuskan kepada mata atau wajah kita. Mata tidak melilau ke tempat lain seakan membayangkan perkara lain lebih penting dilakukan daripada memfokuskan kepada kita.

3. Fikiran betul-betul fokus kepada kita, dengan sesekali mencelah, atau mengangguk dengan apa yang sedang diluahkan menandakan bahawa dia sedang mendengar. Mempamerkan rasa 'kepedulian'. Sesekali bertanya untuk mendapatkan 'clarification' tentang apa yang kita faham, tetapi tidak sampai memotong percakapan sehingga dia mengganggu 'rasa teruja' kita yang sedang bercerita.


Kerahsiaan itu sangat penting dalam kehidupan kita semua. Bukan semua perkara boleh kita kongsi dengan semua orang. Hanya sahabat-sahabat tertentu sahaja yang kita kongsikan segala cerita kita sama ada suka dan duka. Sebagai manusia, soal maruah dan harga diri adalah soal utama dalam kehidupan. Bila didatangi masalah, kita perlukan seseorang untuk kita meluah rasa dan mendapatkan pandangan. Bagi mendapatkan pandangan yang sebenar dan terbaik, maka kita perlu menceritakan dari permulaan hingga ke akhirnya. Justeru, di sini kita terperangkap antara tuntutan kepada nasihat yang terbaik dengan soal maruah dan harga diri yang perlu kita pelihara. Seandainya kita mempunyai seorang sahabat yang menyimpan kerahsiaan, maka kita tidak perlu bimbang rahsia yang dikongsikan itu akan sampai kepada orang lain yang akhirnya boleh memberikan kesan yang tidak baik kepada kita, ataupun memalukan kita. Sahabat yang baik akan sentiasa menjaga nama baik dan melindungi hak sahabatnya.

Lumrah dalam kehidupan, apabila kita dapat meluahkan apa yang terbuku di hati, maka sedikit sebanyak akan meleraikan kekusutan yang ada. Memberikan sedikit rasa ketenangan buat kita. Bebanan yang kita tanggung itu boleh kita ringankan dengan cara perkongsian ini, dan kita tidak perlu bimbang rahsia ini akan sampai kepada pengetahuan orang lain. Seorang sahabat  perlu menyimpan rahsia sahabatnya seumpama rahsianya sendiri. Telan sahaja apa yang diketahui dengan tanamkan secara kekal dalam hati. Anggaplah kita pada masa itu adalah sebahagian daripada diri sahabat kita. Hargailah dan hormatilah kepercayaan yang diberikan dan janganlah 'menodai' hubungan persahabatan yang terjalin.


Sahabat yang baik juga adalah sahabat yang sentiasa mengambilberat tentang kita. Sahabat sebegini selalu bertanya khabar, mendoakan kita dalam doanya, memberikan dorongan dan semangat. Sahabat yang mengambilberat akan cepat mengesan 'gelora' dan 'masalah' pada air muka kita, dan terus bersedia untuk menghulurkan pertolongan tanpa diminta. Sahabat yang sentiasa bersedia untuk berada di sisi kita di saat diperlukan, terus berada di sisi kita bila mendapat tahu kita sedang dalam kesusahan atau sedang dilanda musibah, dengan menolak ke tepi semua perkara lain untuk memberi laluan dan keutamaan kepada kita. Sahabat sebegini sentiasa melahirkan rasa simpati dan begitu memahami situasi yang kita hadapi.


Kita juga memerlukan sahabat yang sentiasa 'bertoleransi' dalam setiap percakapan dan perbuatan. Sahabat yang tidak cepat melatah, dan tidak cepat naik darah..tidak cepat melenting bila berlaku percanggahan pendapat dan kemelut. Sahabat begini bertolerasi kerana sayangkan hubungan persahabatan yang terjalin, dan mereka tidak sanggup memutuskan persahabatan hanya kerana keegoan dan kesombongan yang tinggi. Bagi mereka, nilai persahabatan itu melebihi dari segala-galanya.


Demikianlah sedikit sebanyak perkongsian saya tentang di sebalik sejuta wajah sahabat. Sahabat memainkan peranan yang cukup besar dalam mencorak suka duka kehidupan kita kerana kehidupan kita ini memang tidak dapat lari daripada dikelilingi oleh manusia dalam pelbagai 'topeng kehidupan'. Tidak semua sahabat itu adalah seperti yang kita sangkakan, sesetengahnya hanya ingin mengambil kesempatan atas sebarang peluang yang ada tanpa mempedulikan nilai sebuah persahabatan itu. Justeru, bijaklah kita dalam memilih sahabat supaya sahabat yang kita pilih itu boleh membawa kita kepada kebaikan dan menghindari kita daripada segala kesulitan.





RZH

Comments

Popular posts from this blog

Kenangan Zaman Permainan Kanak-kanak...

Dalam  hidup masing-masing, semua orang   mempunyai  kenangan  dan  momen  indah yang tersendiri semasa zaman kanak-kanak...ada yang menjadikan kenangan itu sebagai suatu nilai sentimental yang akan terpahat selamanya dalam lipatan kenangan. Saya juga tidak terkecuali. Kenangan permainan saya semasa kanak-kanak dulu memang terlalu istimewa dalam hidup saya...sentiasa segar dan mekar dalam bayangan fikiran sehinggakan terkadang menggamit rasa untuk kembali semula ke masa lampau...andai masa boleh diundur semula kan...saya ingin kembali mengulangi momen2 itu. Semasa zaman kanak2 saya memang sangat aktif bermain dan beraktiviti dengan kawan2...memang lasak betul la. Permainan kami geng kanak2 ni memang meriah betul ibarat satu pesta pula kemeriahannya. Zaman kanak2 dulu saya ni kiranya ketua geng la...haha..gengster pun ya juga (kira gengster baik la kalau dalam cerita hindustan dulu2..haha...sabar aje la) tukang plan itu ini dan confirmnya plan tu akan menjadi dgn me

Peranan Penyambut Tetamu Dalam Penganjuran Majlis Formal

    Penyambut tetamu ( usherette ) adalah orang yang memainkan peranan yang sangat penting dalam menyambut tetamu dan memastikan supaya tetamu dalam sesuatu majlis itu dapat diuruskan dengan baik dan lancar tanpa menimbulkan rasa tidak puas hati, rasa tersinggung dan rasa tidak selesa daripada tetamu yang dijemput. Sebelum pergi jauh lagi tentang peranan penyambut tetamu, mari kita sama-sama fahami dulu definisi 'Penyambut Tetamu'. Secara ringkasnya penyambut tetamu adalah orang yang dilantik dan diberikan tugas dan tanggungjawab untuk menyambut tetamu-tetamu yang dijemput dalam satu-satu majlis, menunjukkan arah dan mengiringi tetamu, serta memastikan keselesaan tetamu terjaga. Tugas menyambut tetamu ini kebiasaannya diletakkan di bawah satu Jawatankuasa yang terdiri daripada sebilangan peyambut tetamu yang mana jumlahnya bergantung kepada berapa ramai tetamu yang perlu diuruskan. Tetamu ini diklasifikasi kepada beberapa kategori, iaitu kategori kehormat dan

Peranan Pegawai Tadbir di Universiti Awam

Buat semua pembaca budiman,  Penulisan ini adalah sekadar pandangan dan pendapat peribadi saya berdasarkan pengalaman yang dilalui sebagai Pegawai Tadbir di Universiti Awam (UA). Walau bagaimanapun, ia mungkin berbeza mengikut pandangan masing-masing, juga mungkin berbeza mengikut governan UA masing-masing. Namun, sekurang-kurangnya penulisan ini dapat membantu untuk memberikan gambaran kepada pembaca dalam mengetahui secara umum mengenai peranan dan tanggungjawab seorang Pegawai Tadbir di UA. Pegawai Tadbir yang dibincangkan dalam penulisan ini adalah Pegawai Tadbir Universiti (PTU). PTU adalah Pegawai yang dikelaskan di bawah Skim Perkhidmatan Pengurusan dan Profesional (P&P). Gred jawatan bermula di Gred 41 dan ke atas. PTU adalah individu yang dilantik oleh pihak berkuasa Universiti untuk menguruskan pelbagai bentuk hal-ehwal pengurusan dan pentadbiran di Pusat Tanggungjawab (PTJ) di mana mereka ditempatkan. Daripada segi kelayakan akademik, PTU ini pe