Skip to main content

Membina Azam dan Memahat Komitmen















Kebiasaannya azam ini difikirkan apabila setiap kali kita akan menyambut tahun baru (walaupun tidak semestinya pada setiap tahun baru sahaja azam perlu difikirkan). Semua orang akan memikirkan tentang azam tahun baru, dan semua orang bagai dibudayakan, akan menanyakan tentang azam tahun. Kalau dulu-dulu zaman di persekolahan, cikgu-cikgu suka benar bertanyakan azam tahun baru pelajar-pelajar...mungkin kerana budaya ini, makanya kita sehingga dewasa akan menjadi 'auto' di fikiran, tiba sahaja tahun baru...soal azam yang akan menerjah di fikiran.

Secara peribadi, saya berpendapat menanam azam ini adalah suatu rutin yang sangat baik untuk dibudayakan. Kerana dengan memikirkan dan menanamkan beberapa azam yang ingin kita capai sepanjang tahun berkenaan, maka kita secara tidak langsungnya telah 'mengikat' diri dan menyediakan satu komitmen kepada diri untuk kita berusaha mencapainya. Sudah pasti azam yang kita tanamkan adalah azam yang baik-baik dan azam yang positif, jadi komitmen untuk mencapai perkara yang positif adalah sangat digalakkan untuk mencapai kemajuan demi kemajuan dalam diri. Secara tidak langsung juga, kita akan menjadi insan yang lebih kreatif dalam memikirkan cara atau kaedah untuk kita mencapai azam berkenaan.

Mengikut konsep Neuro Linguistic Programming (NLP), apa yang kita inginkan atau impikan, maka visualkanlah dan bayangkan lah selalu dalam pemikiran  kita, berdoa lah kepada Allah...yakin lah yang kita akan dapat...InshaAllah apa yang kita bayangkan itu akan menjadi kenyataan/mampu kita capai.





Mengikut Kamus Dewan, azam ini didefinisikan sebagai tujuan yang hendak dicapai, dan kemahuan (keinginan, cita-cita, dsbnya) yang sangat kuat. Pada saya, azam ini sama dengan KPI, Key Perfomance Indicator kepada seseorang. bezanya cuma kepada perkataan sahaja. Secara persepsinya, KPI itu lebih membawa maksud yang serius dan sedikit 'menggerunkan', manakala azam ini membawa maksud lebih santai dan longgar. Itu cuma persepsi sahaja...sedangkan pada hakikatnya ia membawa maksud yang sama, cuma perlu disesuaikan dengan situasinya sahaja.

Justeru, pada saya bila Azam ini sama dengan KPI, makanya azam yang ditanam itu mestilah mengikut konsep SMART, iaitu:

1. Spesific (Khusus)
2. Measurable (Boleh diukur)
3. Achievable (Boleh dicapai)
4. Relevant (Bersesuaian)
5. Time based goals (Jangka masa yang tertentu)

Sebagai contoh azam yang memenuhi konsep SMART adalah:

1. Menabung dengan menyatakan jumlah sebulan sebagai sasarannya.
2. Bersedekah dengan menyatakan jumlah sasaran untuk setahun.
3. Berhenti Shopping barang membazir ke tahap zero.
4. Solat Dhuha Atleast 4 kali seminggu.
5. Sunat Tahajjud Atleast 2 kali seminggu.
6. Baca Surah Yassin Selepas setiap solat maghrib.
7. Hafal terjemahan bagi setiap surah kecil (Mukadam), sasarkan berapa surah sebulan perlu diingat. (Bagi mereka yang sudah hafal surah kecil ini).
8. Baca Al-Quran satu Juz seminggu

(Ini sekadar contoh sahaja)

Azam adalah langkah permulaan kepada sebuah kejayaan. Azam ini perlu bermula daripada pemikiran dan perancangan, jua kehendak kita...Justeru, tanpa pemikiran dan perancangan tidak mungkin azam itu akan tersenarai dan tersusun dengan sendirinya mengikut apa yang kita kehendaki dan impikan...tanpa impian semuanya tidak akan menjadi kenyataan...Bila perkara yang kita nak capai pun tiada, kosong...sudah pasti lah perkataan kejayaan itu langsung tidak akan 'berbau'. Bila target atau sasaran pun tiada dalam istilah hidup kita, bagaimana mungkin kita nak merancang strategi dan tindakan untuk mencapainya. Biar ada dulu azam/KPI/Target/sasaran atau apa sahaja yang ingin kita panggil, maka langkah berikutnya nak tak nak kita perlu juga fikirkan strategi dan kaedah pelaksanaannya. Kerana itu lah bila kita mula membina azam, makanya di situlah permulaan langkah untuk mencapai kejayaan!
Gambar Dipetik daripada Google

Pada saya, beberapa perkara asas yang perlu diberikan perhatian semasa memikirkan tentang azam diri pada setiap tahun adalah dengan mengambilkira perkara-perkara berikut sebagai asasnya:

1. Soal Perhubungan & Silaturrahim
    - Hubungan kita dengan Pencipta kita
    - Hubungan kita dengan ibu bapa, pasangan, dan keluarga di kedua-dua belah pihak
    - Hubungan kita dengan jiran tetangga, dan sahabat-sahabat
    - Hubungan kita dengan ketua, staf seliaan dan rakan seperjuangan
    - Hubungan kita dengan insan lain di sekeliling yang tidak dikenali

2. Soal Diri kita
    - Soal sikap dan tingkahlaku
    - Soal hati
    - Soal penampilan
    - Soal komunikasi

3. Soal Kewangan

4. Soal kerjaya

Soal Perhubungan & Silaturrahim

Dalam memperkemaskan hubungan kita dengan Allah, maka asasnya kita melihat kepada solat sebagai tiang agama, sedekah, membaca Al-Quran, berzikir dan sentiasa bermuhasabah diri bahawa kita ini hamba-Nya yang tidak punyai apa-apa kekuatan, kelemahan menjadi milik kita. Kerana itu, jiwa perlu sentiasa disuburkan dengan keimanan yang tinggi kepada Allah agar kita sentiasa mendapat keberkatan dan perlindungan daripada Dia. Untuk meningkatkan keimanan kita kepada Allah dan menyuburkan hati di jalan Allah, berazamlah untuk tidak meninggalkan solat lima waktu, sentiasa melakukan solat-solat sunat secara istiqamah, terutamanya Tahajjud dan Dhuha, istiqamah dalam membaca Al-Quran sekurang-kurangnya 10 ayat sehari. Memperbanyakkan bersedekah dengan niat yang ikhlas, memperbanyakkan istigfar sekurang-kurangnya 70 kali dalam sehari, dan pelbagai cara lagi dalam meningkatkan hubungan kita dengan Allah.

Dalam memperkemaskan hubungan kita dengan ibu bapa, pasangan dan keluarga di kedua belah pihak. Prinsipnya sangat mudah, jaga perangai, jaga tutur kata, jaga cara berpakaian, padamkan rasa ego dan sombong, bongkak dan angkuh dalam diri, perlu banyakkan sabar dan bertoleransi. Saling hormat-menghormati dan saling menghargai, mempraktikkan amalan yang dituntut dalam Islam. Daripada indikator-indikator ini, maka akan lahirlah keharmonian dan kerukunan serta kebahagiaan dalam perhubungan dengan  ibu bapa, pasangan dan adik beradik, juga ipar duai.


Begitu juga hubungan kita dengan jiran tetangga dan sahabat-sabahat. Indikatornya juga sama dengan indikator dalam hubungan dengan ibu bapa, pasangan dan keluarga seperti yang dinyatakan di atas. Saling mengambilberat dan mengambil tahu perkara-perkara dalam batas kejiranan, juga dalam batas persahabatan. Elakkan mengumpat sesama jiran, hindari sikap saling berlumba urusan keduniaan. Sentiasalah menghulurkan bantuan dan pertolongan kepada jiran dan sahabat di kala mereka memerlukan. Amalkanlah prinsip empati, iaitu meletakkan diri kita dalam diri orang lain supaya kita dapat merasai situasi yang dialami oleh orang lain.

Daripada segi hubungan kita dengan Ketua, staf seliaan dan rakan seperjuangan pula, perkara paling asas adalah sentiasa hormat-menghormati. Pelajarilah bagaimana cara kita perlu menghormati ketua, bagaimana cara kita perlu menghormati staf seliaan, dan bagaimana cara kita perlu menghormati rakan seperjuangan.


Begitu juga hubungan kita dengan orang di sekeliling kita yang tidak dikenali. Kita ini adalah hamba Allah di muka bumi ini..semua kita adalah bersaudara, dan perlu menjalinkan silaturrahim yang baik...memberi salam bila berselisih, memberikan senyuman dan bertegur sapa. Jangan lah kita mengamalkan sikap tidak endah kepada mereka yang tidak kita kenali, kerana mereka juga insan seperti kita yang berada dalam dunia sementara menuju destinasi terakhir...kita semua sama saja...





Dalam prinsip organisasi, peranan seorang ketua adalah besar, bukan sahaja memimpin anak buah atau pekerja bawahannya tetapi juga sebagai pengurus yang akan menyelaraskan semua aktiviti di bawah seliaannya bagi mencapai matlamat organisasi. Seorang ketua tidak dapat lari daripada melakukan fungsi-fungsi pengurusan (Gullick & Urwick, 1937), seperti berikut:

1. Planning (Perancangan)
2. Organising (Mengelola)
3. Staffing (Menguruskan staf)
4. Directing (Mengarah)
5. Coordinating (Menyelaras)
6. Reporting (Melapor)
7. Budgeting (Menyedia Belanjawan)


Pada pandangan saya, untuk seseorang ketua itu dihormati, maka ia perlulah mempunyai sebelas ciri-ciri seperti berikut:

1. Kompetensi diri
2. Beriman
3. Kebijaksanaan dan kematangan
4. Konsisten
5. Berintegriti
6  Bersifat terbuka dan sentiasa positif
7. Berani membuat keputusan dan mengambil risiko
8. Kemampuan berkomunikasi berkesan
9. Berakhlak dan baik budipekerti
10. Memiliki kekuatan fizikal, mental dan spiritual
11. Amanah dan adil
12. Kefahaman dan empati

Seorang staf seliaan yang baik terhadap ketua adalah mereka yang memiliki ciri-ciri seperti berikut:

1. Menghormati ketua
2. Jelas dengan tugas yang diamanahkan
3. Disiplin diri dan menghormati peraturan kerja
4. Komunikasi yang baik
5. Tidak melawan dan akur dengan arahan selagi ianya mengikut syariat.
6. Menjaga air muka dan tidak menunjukkan air muka protes
7. Tidak menunjuk pandai dan lagak


Hubungan sesama rakan seperjuangan juga perlulah berdasarkan prinsip-prinsip berikut:

1. Saling menghormati
2. Saling menghargai
3. Saling membantu
4. Saling menyokong dan bermuafakat
5. Tidak bermuka-muka
6. Tidak Menikam dari belakang
7. Tiada istilah dengki dan memijak kawan
8. Tiada istilah mengambil kesempatan
9. Tiada istilah mecari kesalahan/mengaibkan kelemahan sahabat


Soal Diri Kita
Soal diri kita, saya bahagikan kepada empat perkara iaitu  soal hati, soal sikap dan tingkahlaku, soal penampilan dan soal komunikasi. Berazamlah untuk menambahbaik di mana yang kurang...biarlah hati terus bersih, jujur dan ikhlas. Biarlah sikap dan tingkah laku sentiasa dalam batasan dan had yang dibenarkan. Biarlah penampilan diri dengan keperibadian yang cantik di mata, indah di hati, positif dan sejuk mata memandang, dan enak telinga mendengar. Penampilan yang baik membuatkan semua orang senang dengan kita. Penampilan ini merangkumi semua aspek, iaitu sikap atau pembawaan, cara kita berkomunikasi, cara kita berpakaian, cara kita berjalan, cara kita duduk, cara kita berdiri, aspek kebersihan diri (kuku, rambut, bau badan, bau mulut, dsbnya). Manakala, tentang soal komunikasi pula, berkomunikasilah dengan baik atas prinsip, "jika kita mahu dilayan dengan baik, maka berilah layanan yang sama kepada orang lain".


Soal Kewangan
Pada setiap tahun, sentiasalah berdoa agar rezeki kita Allah tingkatkan dan berkati. Setiap orang mempunyai impian untuk hidup bahagia di dunia dan di akhirat. Mohon Allah permudahkan rezeki kita agar keperluan kita mencukupi dan dapat kita menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan. Amalkan prinsip jujur dan ikhlas, tidak mengambil hak orang, sama ada yang tersirat atau tersurat...Berusahalah, berdoalah, dan bersyukurlah...Insha Allah dicukupkan Allah keperluan kita di dunia dan di akhirat.


Soal Karier
Sentiasa berazam untuk tingkat kompetensi diri. Prinsipnya mudah, dalam karier kita atau dalam pekerjaan kita, amalkan lah prinsip melakukan kerja untuk kepuasan hati kita dan hati orang di sekeliling kita, yakni ketua dan anak buah kita. Pada saya kepuasan hati kita boleh dicapai bila hasil kerja kita adalah 'tip top'. Kepuasan ketua kita dan kepuasan anak buah kita adalah kepuasan kita. Hasilkan lah kerja yang terbaik! Begitu juga, sekiranya kita ingin berjaya, ia sebenarnya sangat mudah, kita tahu apa yang kita lakukan, menyukai apa yang kita lakukan dan percaya dengan apa yang kita lakukan...maka hasilnya nanti akan luar biasa!



Dalam isu ini, kita tidak perlu untuk berlumba-lumba dalam mengejar pangkat dan kuasa...yakinlah rezeki itu milik Allah, andai Dia memilih kita untuk diberikan rezeki berkenaan, maka ia tetap menjadi milik kita. Andai Allah tidak memilih kita untuk diberikan rezeki berkenaan, maka ia tidak akan menjadi milik kita. Justeru, kenapa perlu kita mempunyai rasa yang tidak sabar dan terburu-buru dalam mengejar kenaikan pangkat, sehingga kita terlupa batas-batas yang perlu kita jaga..rakus, busuk hati, dengki adalah unsur dalam diri yang menjadi racun kepada hati...sehingga kita terlupa soal keimanan yang hakiki kepada Dia yang satu. Yang penting pada kita adalah, jalankan amanah dan tanggungjawab yang dipikul dengan baik, sempurnakan semua tugas-tugas itu...selebihnya biarlah Allah yang tentukan. Usah kita bersikap sombong dan bongkak untuk menentukan sendiri masa depan kita dalam karier, kerana hakikatnya pada kitab Allah, ianya telahpun tertulis awal. Kita sebagai hambanya hanya mampu berusaha dan berdoa...selebihnya adalah Milik Dia...jadi mengapa perlu gundah gulana...Bersabar lah...tiba masanya dan saat yang sesuai...Allah akan hadirkan kepada kita dengan jalan dan cara yang tidak kita sangka...itu sebenarnya yang "lebih mahal nilainya".



Kesimpulannya, azam yang baik adalah pemacu kepada peningkatan dalam diri kita daripada pelbagai aspek kehidupan, dunia dan akhirat. Justeru, tanamkan lah azam dalam diri yang kita ingin menambahbaik setiap kekurangan dan kelemahan yang ada...tingkatkan lah amalan kita kepada Allah dan peliharalah ia, istiqamah la dengannya....InshaAllah Dia akan 'pelihara kita'  dalam lembayung kerahmatan-Nya. Jadikanlah sifat rendah diri, kejujuran dan keikhlasan sebagai prinsip dalam hidup.





Salam Hormat
RZH



Catatan: Semua images yang dipaparkan adalah diambil daripada Google Images. Kredit untuk Google Images.
   






Comments

Popular posts from this blog

Kenangan Zaman Permainan Kanak-kanak...

Dalam  hidup masing-masing, semua orang   mempunyai  kenangan  dan  momen  indah yang tersendiri semasa zaman kanak-kanak...ada yang menjadikan kenangan itu sebagai suatu nilai sentimental yang akan terpahat selamanya dalam lipatan kenangan. Saya juga tidak terkecuali. Kenangan permainan saya semasa kanak-kanak dulu memang terlalu istimewa dalam hidup saya...sentiasa segar dan mekar dalam bayangan fikiran sehinggakan terkadang menggamit rasa untuk kembali semula ke masa lampau...andai masa boleh diundur semula kan...saya ingin kembali mengulangi momen2 itu. Semasa zaman kanak2 saya memang sangat aktif bermain dan beraktiviti dengan kawan2...memang lasak betul la. Permainan kami geng kanak2 ni memang meriah betul ibarat satu pesta pula kemeriahannya. Zaman kanak2 dulu saya ni kiranya ketua geng la...haha..gengster pun ya juga (kira gengster baik la kalau dalam cerita hindustan dulu2..haha...sabar aje la) tukang plan itu ini dan confirmnya plan tu akan menjadi dgn me

Peranan Penyambut Tetamu Dalam Penganjuran Majlis Formal

    Penyambut tetamu ( usherette ) adalah orang yang memainkan peranan yang sangat penting dalam menyambut tetamu dan memastikan supaya tetamu dalam sesuatu majlis itu dapat diuruskan dengan baik dan lancar tanpa menimbulkan rasa tidak puas hati, rasa tersinggung dan rasa tidak selesa daripada tetamu yang dijemput. Sebelum pergi jauh lagi tentang peranan penyambut tetamu, mari kita sama-sama fahami dulu definisi 'Penyambut Tetamu'. Secara ringkasnya penyambut tetamu adalah orang yang dilantik dan diberikan tugas dan tanggungjawab untuk menyambut tetamu-tetamu yang dijemput dalam satu-satu majlis, menunjukkan arah dan mengiringi tetamu, serta memastikan keselesaan tetamu terjaga. Tugas menyambut tetamu ini kebiasaannya diletakkan di bawah satu Jawatankuasa yang terdiri daripada sebilangan peyambut tetamu yang mana jumlahnya bergantung kepada berapa ramai tetamu yang perlu diuruskan. Tetamu ini diklasifikasi kepada beberapa kategori, iaitu kategori kehormat dan

Peranan Pegawai Tadbir di Universiti Awam

Buat semua pembaca budiman,  Penulisan ini adalah sekadar pandangan dan pendapat peribadi saya berdasarkan pengalaman yang dilalui sebagai Pegawai Tadbir di Universiti Awam (UA). Walau bagaimanapun, ia mungkin berbeza mengikut pandangan masing-masing, juga mungkin berbeza mengikut governan UA masing-masing. Namun, sekurang-kurangnya penulisan ini dapat membantu untuk memberikan gambaran kepada pembaca dalam mengetahui secara umum mengenai peranan dan tanggungjawab seorang Pegawai Tadbir di UA. Pegawai Tadbir yang dibincangkan dalam penulisan ini adalah Pegawai Tadbir Universiti (PTU). PTU adalah Pegawai yang dikelaskan di bawah Skim Perkhidmatan Pengurusan dan Profesional (P&P). Gred jawatan bermula di Gred 41 dan ke atas. PTU adalah individu yang dilantik oleh pihak berkuasa Universiti untuk menguruskan pelbagai bentuk hal-ehwal pengurusan dan pentadbiran di Pusat Tanggungjawab (PTJ) di mana mereka ditempatkan. Daripada segi kelayakan akademik, PTU ini pe