kerana dengan senyuman
hati yang gundah kembali tenang
dan jiwa yang kacau akan kembali damai
Bila kita menyebut tentang senyuman saya percaya semua orang faham senyuman itu adalah satu tingkah laku atau perbuatan yang positif.
Dalam Kamus Dewan, senyum itu bermaksud perbuatan menggerakkan sedikit bibir hingga ternaik sedikit hujungnya bagi membayangkan rasa suka, bahagia, gelihati, setuju dan sebagainya tanpa mengeluarkan suara.
Dalam komunikasi, senyuman itu adalah salah satu bentuk bahasa badan (body language) melalui riak wajah (facial expression). Senyuman ditunjukkan dengan mulut dan boleh juga dengan mata.
Rasulullah SAW bersabda senyuman itu adalah sedekah. Dan Rasulullah SAW sendiri sentiasa kaya dengan senyuman. Sahabat bernama Jabir berkata, " Setiap kali aku bertemu dengan Nabi Muhammad SAW, aku sentiasa melihat senyuman pada bibirnya".
Kitab Tuhfatul Ahwadzi menyatakan:
"Menampakkan wajah manis di hadapan seorang muslim akan menyebabkan hatinya merasa senang dan bahagia, dan melakukan perbuatan yang menyebabkan bahagianya hati seorang muslim adalah suatu keaikan dan keutamaan".
Manakala pakar psikologi pula mendedahkan bahawa untuk senyum itu adalah lebih mudah dilakukan oleh seseorang berbanding dengan memasamkan muka. Senyuman memerlukan seseorang itu menggerakkan 16 gerakan otot wajah, manakala untuk tarikh muka masam, memerlukan gerakan 43 otot wajah. Senyuman juga merangsang pengeluaran endorphins (sejenis bahan kimia yang dihasilkan oleh otak untuk mengurangkan rasa sakit).
Banyak pepatah tentang senyuman yang dapat kita lihat, antaranya adalah:
1. Senyuman adalah magnet untuk menarik rezeki. Jalankan bisnes kita dengan senyuman, wujudkannya dalam semua bentuk hubungan dengan pelanggan kita. (Pakar motivasi: Dr. Azizan Osman).
2. Ukirlah senyuman yang paling manis kerana selain sedekah senyuman itu ibarat lukisan rahsia hati...senyuman itu tidak menyakitkan tapi menjadi penawar hati yang sakit.
3. Senyuman itu mendekatkan jarak antara dua insan.
4. Senyuman dapat melembutkan hati yang keras dan mencairkan keegoaan dan memadamkan kemarahan.
5. Senyuman menyerlahkan keperibadian diri.
6. Senyuman akan membina silaturahim dan ukhwah.
7. Senyuman memberikan rasa tenang dan damai kepada pemiliknya dan orang sekelilingnya.
8. Senyuman adalah tanda yakin diri dan tanda kebahagiaan.
9. Senyuman mampu mengubah mood.
10. Senyuman akan menghindari konflik dan kekusutan.
Kita perlu tahu bahawa dengan mengukirkan senyuman, kita sebenarnya telah memberikan tenaga dan aura positif kepada orang yang menerima senyuman kita. Justerunya, aura positif ini akan meningkatkan rasa pemuafakatan dan jalinan perhubungan yang lebih baik dan akhirnya akan lebih mudah untuk kita sama-sama mencapai matlamat dan solusi yang diharapkan.
Makanya, dengan kehebatan senyuman ini, sama-samalah kita mengambil peluang untuk sentiasa mengukirkan senyuman kerana terlalu banyak faedah daripada senyuman ini. Latih diri untuk sentiasa "SENYUM". Lama-lama nanti bila kita sudah terbiasa dengan senyuman, ia sudah menjadi salah satu daripada personaliti kita. Jom Senyum selalu!
Salam Hormat,
anggerikdesa
RZH
Comments
Post a Comment