Dalam kehidupan, kita sering diajar bahawa menjadi seorang yang baik adalah satu kelebihan. Bersabar, memaafkan, membimbing dan sentiasa memberi peluang kepada orang lain merupakan nilai yang mulia. Namun, semakin jauh perjalanan hidup, semakin kita memahami bahawa kebaikan juga memerlukan sempadan. Tidak semua orang layak mendapat akses tanpa had kepada hati, kepercayaan dan kesabaran yang kita miliki.
Di mana-mana sahaja kita berada, pasti akan ada pertemuan antara mereka yang lebih dahulu melangkah dengan mereka yang baru memulakan perjalanan. Yang terdahulu membawa pengalaman, kebijaksanaan dan pengajaran daripada pelbagai cabaran yang pernah ditempuhi. Yang kemudian pula hadir dengan semangat, keberanian dan cara berfikir yang segar. Apabila kedua-duanya saling menghargai, akan lahirlah suasana yang harmoni dan saling memperkukuh.
Namun, tidak semua memahami bahawa ilmu tidak hanya datang daripada buku, dan kematangan tidak semestinya hadir bersama usia. Ada yang terlalu cepat merasakan diri sudah mengetahui segala-galanya sehingga terlupa bahawa setiap insan mempunyai sesuatu untuk diajarkan. Nasihat dianggap mengongkong, teguran disalah tafsir sebagai kritikan, manakala kesabaran dilihat sebagai kelemahan.
Hakikatnya, mereka yang pernah melalui banyak liku kehidupan lazimnya memilih untuk terus bersabar. Mereka tidak jemu berkongsi pengalaman, memberi ruang untuk orang lain belajar daripada kesilapan dan berharap agar setiap insan akhirnya menemukan kebijaksanaan sendiri. Mereka memahami bahawa proses membentuk manusia memerlukan masa.
Namun, apabila peluang demi peluang dipersiakan, apabila keikhlasan dibalas dengan percaturan tidak sihat dan rasa hormat semakin terhakis, akan tiba satu ketika di mana kesabaran tiba ke titik maksimum.
Ironinya, apabila seseorang yang selama ini sentiasa memberi ruang akhirnya memilih untuk diam, maka itu adalah respon paling terbaik untuk sebuah pengkhianatan yang disengajakan.
Sebenarnya, diam bukan tanda menyerah. Diam juga bukan tanda takut. Diam ialah keputusan yang lahir daripada kematangan. Ada masanya, kita tidak lagi perlu mempertahankan diri, tidak lagi perlu menjelaskan apa-apa dan tidak lagi perlu memberi peluang kepada mereka yang sengaja memilih untuk diberikan red flag.
Bukan kerana membenci, tetapi kerana kita mula memahami bahawa tiada ruang lagi untuk sebuah pengkhianatan dan kejahatan...buang jauh!
Tidak semua orang layak terus diberi akses kepada perhatian kita. Tidak semua orang layak menerima masa, tenaga dan kepercayaan yang diberikan dengan penuh keikhlasan. Apabila seseorang berulang kali memilih untuk menguji batas kesabaran, memperlekehkan nilai hormat atau mengambil kesempatan atas kebaikan orang lain, maka menjauhkan diri bukanlah satu hukuman. Ia adalah satu bentuk penghormatan terhadap maruah dan ketenangan diri.
Kadangkala, tindakan yang paling berkesan bukanlah membalas dengan kata-kata atau menunjukkan kemarahan. Sebaliknya, kita hanya meneruskan kehidupan seperti biasa. Tidak mencari, tidak mengejar dan tidak lagi membuka ruang yang pernah diberikan. Biar masa menjadi guru. Biar mereka mencari sendiri jawapan kepada persoalan yang selama ini tidak pernah mahu difikirkan. Jawapan kepada apa yang mereka sendiri cipta dan naratifkan.
Kematangan bukan diukur melalui kemampuan untuk terus bertahan dalam setiap keadaan, tetapi melalui kebijaksanaan mengetahui bila perlu berhenti. Ada pintu yang perlu terus dibuka, dan ada pintu yang wajar ditutup dengan tenang, tanpa dendam dan tanpa bising.
Akhirnya, kita akan sedar bahawa menjaga hati sendiri bukanlah satu bentuk mementingkan diri. Sebaliknya, ia adalah tanda bahawa kita telah belajar menghargai nilai diri. Kesabaran adalah anugerah yang sangat mahal, dan ia sewajarnya diberikan kepada mereka yang tahu menghormati keikhlasan, adab dan nilai sebuah hubungan.
Kerana dalam hidup ini, bukan semua orang berhak menjadi tetamu di ruang hati kita. Ada yang hadir untuk mengajar tentang kebaikan, dan ada yang hadir untuk mengajar bahawa menetapkan sempadan juga adalah satu bentuk kebijaksanaan.
Salam hormat,
RZH
Comments
Post a Comment