Kepimpinan
seseorang pegawai adalah antara aspek yang sangat penting dalam memacu
kecemerlangan pentadbiran dan pengurusan seseorang pengurus atau ketua dalam sesebuah
organisasi. Kepimpinan ditakrifkan sebagai keupayaan memimpin seseorang
pengurus dalam menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka.
Keupayaan memimpin ini merangkumi proses perancangan, pengorganisasian, pengarahan,
penyelarasan, pemantauan, penyeliaan, dan proses membuat keputusan sebagaimana
yang disebut oleh sarjana pengurusan terkenal Henry Fayol.
Daripada
penelitian dan pengalaman sebenar yang dilalui, saya mempunyai pandangan tersendiri
terhadap perlunya beberapa perkara penting dalam kepimpinan yang perlu ada bagi seseorang pengurus, dan seandainya telah ada masih perlu ditambahbaik dalam memastikan pengurusan dan pentadbiran
yang cemerlang dan berkualiti.
Secara
umumnya, peranan seorang pengurus dalam sesebuah organisasi adalah sebagai
perancang organisasi, simbol identiti dan imej organisasi, pendorong motivasi
organisasi, penguasa komunikasi korporat komunikasi, pegawai maklumat
organisasi, perunding rujukan permasalahan, penggerak organisasi, pemimpin,
pengurus dan pelaksana dalam organisasi, peneraju perubahan, dan inspirasi
kepada organisasi.
Kepimpinan
cemerlang seseorang pengurus adalah berdasarkan kemahiran penting yang perlu
ada dalam menjadi seorang pengurus yang cemerlang, berkualiti, dan disenangi
oleh semua peringkat anggota organisasi. Antara komponen yang penting adalah:
1.
Kemahiran
komunikasi berkesan
2.
Memiliki tahap Emotional Quotient (EQ) yang tinggi
3.
Keutuhan
peribadi dan ketrampilan diri
4. Memiliki ilmu NLP (Neuro Linguistic Programming)
dan mempraktikkan
dalam kepimpinan.
5.
Kemahiran
Pemikiran Analitikal & Strategik
6.
Kemahiran
konseptual
7.
Kemahiran
Perundingan
8.
Kemahiran
Membuat Keputusan
9.
Pengetahuan
dalam protokol dan etiket
10.
Penguasaan ilmu secara berterusan
11.
Keimanan dan ketakwaan
Justeru, sekiranya elemen-elemen ini tiada dalam diri seorang pengurus,
bagaimana mungkin seseorang itu boleh berjaya dengan cemerlang dalam menerajui
satu-satu organisasi. Dalam penulisan ini, daripada sepuluh (10) perkara yang
disenaraikan, saya memilih untuk fokus kepada tiga (3) perkara sahaja untuk
seseorang pengurus perlu ada atau perlu meningkatkannya atau membuat penambahbaikan bagi
memastikan kewibawaan dan kecemerlangan dalam kepimpinan. Tiga perkara ini
adalah kemahiran komunikasi berkesan, keutuhan
peribadi dan penampilan diri yang cemerlang, dan memiliki tahap Emotional Quotient yang tinggi bagi seseorang
pengurus. Dalam penulisan ini, penumpuan huraian akan lebih diberikan berkaitan
dengan aspek keperluan Emotional
Quotient yang tinggi (EQ) kepada seseorang pengurus.
Seorang
pengurus wajib memperkemaskan dan menambahbaik kemahiran komunikasi berkesan. Kemahiran komunikasi yang baik daripada aspek tutur kata,
perbuatan dan tingkahlaku, dan bahasa badan (body language) yang berhemah akan
menjadikan kita sebagai pengurus yang dihormati dan disenangi. Seorang pengurus
yang mempunyai komunikasi yang berkesan akan mampu menguruskan organisasi dalam
semua aspek dan membawa kecemerlangan dalam organisasi berkenaan. Ini kerana
kajian telah menyatakan bahawa 75% daripada kegagalan organisasi adalah
disebabkan oleh faktor komunikasi. Komunikasi berkesan ini penting dalam
produktiviti kerja yang dilaksanakan kerana produktiviti bergantung kepada
keupayaan mendengar, berucap/berbicara dan menulis dengan baik. Ia juga penting
dalam membentuk hubungan yang baik kerana kejayaan karier seseorang bergantung
kepada kepercayaan orang lain yang menghargai kita. Komunikasi berkesan juga menjadikan
seseorang pengurus dapat menangani konflik/menguruskan emosi dan menyelesaikan
masalah dengan baik. Kejayaan organisasi juga bergantung kepada kejayaan
berkomunikasi dengan pelanggan mengenai perkhidmatan dan produk yang
dikeluarkan.
Penambahbaikan dalam keutuhan
peribadi adalah juga merupakan komponen yang sangat penting kepada seseorang
pengurus. Keutuhan peribadi ini boleh dilihat kepada, aspek keimanan,
ketakwaan, tidak meninggalkan solat, mempunyai nilai diri yang baik, berbudi
pekerti yang baik, berhemah dan bersopan santun, sangat menghormati anggota
organisasi di semua peringkat, pendengar yang baik, seorang yang tegas tapi
memahami dan fleksibel (budi bicara), tidak bias dan pilih kasih, seorang ketua
yang mengamalkan konsep kepimpinan melalui teladan, tidak ego dan sombong, senang
dibawa berbincang dan sangat memahami situasi. Pengurus juga perlu mengambilberat
tentang staf dan sering bertanya khabar staf, tidak lokek dengan ucapan terima
kasih dan penghargaan serta pujian ikhlas untuk memotivasikan dan memberikan
semangat, tidak mementingkan diri sendiri, ketua yang bukan jenis bossy dan pushy, mudah memaafkan dan mudah meminta maaf jika tersilap.
Selari dengan
ciri-ciri keutuhan peribadi ini, seorang pengurus juga perlu sentiasa menjaga penampilan diri kerana
penampilan diri ini adalah gambaran tentang diri seseorang pengurus daripada
hujung rambut sehingga hujung kaki, seperti cara kita berpakaian, penjagaan
kebersihan diri, perilaku, cara bercakap, imej diri, perwatakan dan
keperibadian. Di peringkat permulaan, penampilan diri yang baik akan dapat menggamit
dan membina kepercayaan dan keyakinan orang lain kepada kita untuk memimpin,
dan sudah pasti selepas itu ia perlu dilengkapkan dengan kompetensi diri
pengurus. Inilah antara ciri-ciri keutuhan peribadi seorang pengurus yang perlu
ada dalam diri seorang pengurus. Kerana itu, seorang pengurus yang tidak
memiliki keutuhan peribadi dan penampilan diri yang cemerlang perlu berusaha
untuk menambahbaiknya demi kecemerlangan diri dan organisasi.
Seorang pengurus atau ketua
juga perlu meningkatkan dan menambahbaik aspek Kecerdasan Emosi (Emotional Quotient) dalam diri mereka. EQ
adalah satu term yang merujuk kepada
kemampuan seseorang dalam menguruskan emosi dan perasaannya. Kemampuan
mengenali perasaan sendiri, perasaan orang lain dan mengawal perasaan dan emosi
diri sendiri dan orang lain, kesanggupan dalam mengendalikan dorongan hati dan
perasaan sendiri, kemampuan memahami perasaan orang lain (empati). Ia juga
mempunyai perkaitan dengan kemampuan seseorang dalam memotivasikan diri sendiri
dan diri orang lain, dan ketahanan dalam menghadapi kegagalan. Lima Dimensi EQ adalah Kesedaran diri (self-awareness),
Kawalan diri (self-regulation), Motivasi diri (motivation), Empati (Emphaty),
Kemahiran sosial (Social skills).
Sekadar menarik perhatian
semua mengenai gambaran berkaitan tahap IQ (Intelligence Quotient) dan EQ yang
memberi kesan kepada seseorang dalam realiti kehidupan sebenar. Kebiasaannya
mereka yang mempunyai IQ yang tinggi ini akan cemerlang dan hebat dalam
menghasilkan kualiti kerja, namun demikian kelemahan akan dapat dikesan
daripada aspek sosial pergaulan, menjaga hubungan dan rundingan. Manakala
mereka yang mempunyai EQ yang tinggi pula akan dilihat cemerlang dan hebat
dalam menjaga perhubungan dan pergaulan, lebih memahami dan fleksibel dalam membuat
keputusan kerana mereka mengambil kira soal hati dan perasaan juga emosi orang
lain. Kerana itulah dikatakan mereka yang mempunyai EQ yang tinggi ini juga
adalah mereka yang lebih popular, disenangi dan mendapat tempat di hati semua
orang.
Perkembangan dunia
hari ini memerlukan organisasi mempunyai pemimpin yang mempunyai tahap EQ yang
tinggi dalam kepimpinannya, dan bukan hanya setakat mempunyai tahap IQ yang
baik. Para pengkaji mengatakan bahawa 80% kejayaan di tempat kerja bergantung
kepada EQ sementara hanya 20% bergantung kepada IQ (Martinez, 19197 &
Kirch, Tucker, Kirch, 2001).
Pada pandangan saya EQ itu boleh dikuasai oleh semua orang tanpa mengira tahap IQ nya kerana EQ ini bergantung kepada tahap kawalan emosi, hati dan perasaan seseorang itu. Semakin bagus seseorang itu mengawal tahap emosi maka semakin tinggi la tahap EQ yang dimiliki oleh individu berkenaan. Semakin bagus seseorang itu memiliki ciri-ciri diri dan nilai-nilai murni dalam kehidupan, dan penguasaan komunikasi yang baik maka semakin baik lah tahap EQ nya. EQ adalah elemen penting untuk mewujudkan keadaan di tempat kerja yang produktif dan harmoni. Ia sangat penting dalam menangani soal hati dan perasaan pekerja yang berlaku dalam organisasi apabila berhadapan dengan satu-satu masalah.
Secara
peribadinya, saya ingin berkongsi pandangan saya mengenai mengapa pentingnya
dimensi EQ ini dalam urusan kerja. Saya pecahkan kepada dua peringkat, iaitu
peringkat ketua dan peringkat staf seliaan.
Di peringkat pengurus atau ketua mengapa seseorang pengurus atau ketua
itu perlu mempunyai tahap EQ yang tinggi:
1. Ketua memainkan peranan dalam menggambling semua staf di bawah seliaannya untuk melaksanakan kerja bagi mencapai objektif organisasi. Sekiranya Ketua tidak mempunyai EQ yang tinggi bagaimana mungkin beliau dapat memberikan motivasi dan inspirasi dan "membeli hati dan jiwa" staf seliaannya agar dapat sama-sama melakukan kerja dengan baik dan mengamalkan konsep "kerja itu ibadah" yang nanti dikaitkan dengan soal keikhlasan dalam kerja dan bukan menjalankan kerja kerana "terpaksa". Seorang ketua yang dapat "membeli hati dan jiwa" staf seliaannya akan lebih mendapat kerjasama dan komitmen daripada staf berbanding ketua yang hanya berorintasikan matlamat sahaja tanpa mengambil kira soal hati dan perasaan dan emosi staf seliaanya.
2. Ketua memainkan peranan dalam membuat keputusan. Sekiranya mempunyai tahap EQ yang rendah seseorang ketua berkemungkinan cenderung untuk membuat keputusan mengikut keperluan pemikirannya yang berlandaskan IQ semata-mata bagi tujuan mencapai objektif organisasi tanpa mengambilkira tahap penerimaan staf seliaan, tahap kepuasan hati staf yang akhirnya memberikan rasa tidak gembira staf dengan sistem atau budaya kerja yang ada dalam organisasi yang dipimpin oleh ketua yang rendah tahap EQ nya.
3. Ketua juga memainkan peranan dalam menyelesaikan masalah dan konflik dalam organisasi. Sekiranya tahap EQ yang rendah, bagaimana mungkin seseorang ketua mampu untuk menyelesaikan masalah dan konflik dengan baik kerana umum mengetahui bahawa masalah dan konflik ini selalunya timbul disebabkan oleh ketidakpuasan hati yang berlaku. Justeru, untuk menanganinya pastilah ia melibatkan kebijaksanaan ketua dalam mengendalikan hati dan perasaan.
5. EQ yang tinggi juga akan menjamin aspek kawalan diri yang baik dengan menjaga sikap dan tingkahlaku supaya terus mempunyai nilai2 murni yang baik dan saling faham memahami dan hormat menghormati dan memberikan khidmat yang terbaik dan berkualiti kepada ketua, sesama rakan sekerja dan pelanggan. Pengurus yang mempunyai EQ yang tinggi pandai membina dan dan menjaga hubungan.
6. Tahap EQ yang
tinggi juga akan menyebabkan pengurus dapat mengendalikan tekanan kerja dengan
baik dan ini akan memberikan kesan yang positif kepada diri dan kesihatan. Kita
semua tahu emosi yang tidak stabil dan tekanan kerja yang tinggi akan
memberikan kesan kepada tahap kesihatan dan ini boleh menjejaskan prestasi
kerja seseorang kakitangan. Mungkin masalah cuti sakit dan cuti rehat akan
berpanjangan dan mengganggu kelancaran kerja di pejabat.
7. EQ yang
tinggi akan menjadikan seseorang pengurus dapat mewujudkan pergaulan sosial
yang baik dengan ketua dan rakan setugas, dan saling memahami antara satu sama
lain. Apabila hubungan yang baik berlaku sudah pasti organisasi itu mempunyai
tahap "team work" yang baik. Kejayaan satu-satu organisasi adalah
juga dipengaruhi oleh tahap pemuafakatan dan persefahaman yang tinggi anggota
organisasinya.
8. EQ yang tinggi juga akan menjamin tahap responsif pengurus yang baik atas apa jua arahan kerja yang diterima. Pengurus tidak akan mudah melatah atas segala salah faham yang berlaku dan sentiasa rasional dalam menerima teguran dan positif dalam menghadapi apa jua kegagalan.
Justeru, elemen EQ dan IQ ini merupakan elemen yang sangat penting dalam menjamin prestasi kerja yang cemerlang, hebat dan berkualiti. Mengikut kajian juga mereka yang mempunyai EQ yang tinggi adalah mereka yang mempunyai potensi kepimpinan yang tinggi. Kerana itu dapat dilihat kini kebanyakan syarikat-syarikat gergasi telah menetapkan syarat supaya pekerja yang mereka ambil perlulah melepasi tahap EQ yang ditetapkan. Tahap EQ seseorang sebenarnya lebih memberikan impak yang besar kepada organisasi.
Kesimpulannya
daripada penulisan ini, saya berpendapat ketiga-tiga komponen sebagaimana yang
dihuraikan dalam penulisan ini merupakan komponen utama yang menjadi teras
kepada kewibawaan, keterserlahan dan ketokohan seseorang dalam memimpin dan
menerajui satu-satu organisasi di pelbagai peringkat kepimpinan. Kerana itu,
keperluan komponen teras ini perlulah dipastikan ada dalam setiap pengurus dan
usaha untuk penambahbaikan perlu dibuat segera bagi memastikan semua pengurus
di semua peringkat kepimpinan melengkapkan diri dengan komponen teras ini. Dengan
adanya ketiga-tiga komponen teras ini dalam kepimpinan, maka secara sendirinya akan
mendorong dan memacu seseorang pengurus itu untuk menguasai kemahiran lain yang
diperlukan dalam pengurusan dan pentadbiran.
Salam Hormat.
Sekadar pandangan peribadi.
RZH
Comments
Post a Comment