Ada satu bentuk marah yang paling sukar dilihat oleh orang lain — bukan marah yang diluahkan dengan suara yang tinggi, bukan juga marah yang disertai kata-kata kasar. Tetapi marah yang dipendam, dikawal dan disimpan jauh di dalam hati.
Kadangkala, seseorang memilih untuk diam bukan kerana dia tidak marah. Sebaliknya, dia terlalu marah sehingga takut jika membuka mulut, terlalu banyak perkara akan terluah. Maka dia memilih diam. Dia menarik diri. Dia berhenti bertanya. Dia berhenti menjelaskan. Dia cuba kelihatan seperti biasa, walaupun di dalam dirinya sedang berlaku peperangan yang sangat hebat.
Mengawal marah sebenarnya memerlukan kekuatan. Kita belajar menahan kata-kata yang mungkin melukakan, menahan tangan daripada melakukan sesuatu yang akan disesali, dan menahan diri daripada bertindak mengikut emosi. Kita memilih untuk berdiam kerana tidak mahu menjadikan kemarahan sebagai alasan untuk menyakiti orang lain.
Namun, ada kalanya kawalan itu sendiri terasa sangat menyakitkan.
Sakitnya apabila kita terpaksa tersenyum sedangkan hati sedang kecewa. Sakitnya apabila kita ingin bertanya tetapi memilih untuk tidak bertanya. Sakitnya apabila banyak perkara ingin dijelaskan tetapi kita sedar bahawa mungkin tiada siapa yang benar-benar mahu mendengar. Dan paling menyakitkan apabila kita terpaksa memujuk diri sendiri bahawa semuanya baik-baik sahaja, sedangkan hati tahu bahawa ada sesuatu yang telah berubah.
Tetapi mengawal marah bukan bermaksud kita perlu memendam semuanya selamanya. Marah perlu diakui, difahami dan dilepaskan dengan cara yang matang. Menangis jika perlu. Menulis jika itu membantu. Berdoa jika hati terasa berat. Berundur seketika apabila emosi terlalu kuat. Yang penting, jangan biarkan kemarahan mengubah kita menjadi seseorang yang bukan diri kita.
Kadangkala, diam adalah pilihan paling selamat. Bukan kerana kita lemah, tetapi kerana kita memilih ketenangan daripada kemenangan. Kita memilih untuk tidak membalas kata-kata yang menyakitkan. Kita memilih untuk tidak membalas perbuatan dengan perbuatan. Kita memilih untuk menjaga maruah diri walaupun hati sedang terluka.
Kerana pada akhirnya, kawalan marah bukan tentang siapa yang menang atau kalah. Ia tentang kemampuan seseorang untuk mengawal dirinya ketika hatinya sedang berada pada titik paling sakit.
Dan mungkin, itulah bentuk kekuatan yang paling sunyi...apabila kita mampu menahan diri daripada menyakiti orang lain, walaupun pada saat yang sama, kita sendiri sedang menanggung sakit yang tidak mampu dijelaskan dengan kata-kata.
RZH
Comments
Post a Comment