Sedekah atau infak adalah amalan yang sangat dituntut dalam Islam. Banyak bentuk sedekah yang boleh kita amalkan, sedekah Jumaat, sedekah subuh, sedekah bulanan atau mingguan di rumah orang tua, anak2 yatim, sedekah untuk meringankan kesusahan orang yang memerlukan, sedekah melalui konsep wakaf, pembelian Al-Quran dan diagihkan kepada pihak yang memerlukan, infak untuk pembinaan masjid, pondok agama, rumah anak yatim dan pelbagai bentuk lain lagi.
Sedekah perlu dilakukan dengan niat yang ikhlas tanpa ada niat di sebaliknya. Lagi afdal jika ianya dilakukan secara istiqomah.
Sedekah bukan untuk kita menunjuk-nunjuk kebaikan atau sifat ambil berat dan keprihatinan kita. Tidak perlu kita mencanangkan kepada semua orang tentang sedekah atau sumbangan yang telah kita buat kerana konsep sedekah ini adalah antara kita dengan Allah sahaja. Umpama tangan kanan memberi, tangan kiri pun tidak mengetahuinya, hatta pasangan kitapun tidak mengetahui tentang sedekah yang kita buat.
Kalau salah percaturan sedekah yang ikhlas boleh menjadi dosa seandainya tanpa sedar terdetik rasa ujub dan riak dalam hati kita. Sebab itulah, sedekah ini perlu dibuat diam-diam kerana jika nanti diwar-war atau ditayangkan di sosial media, bimbang ianya boleh membawa kepada salah tanggapan daripada orang lain, juga membawa kepada mudarat yang lain. Contohnya, bila status kita di media sosial mendapat pujian daripada sahabat2 di media sosial boleh menjadikan kita rasa gembira dengan pujian itu dan risau nanti tercetus rasa ujub dalam diri.
Sedekah ini adalah bekalan kita di sana nanti. Jadi simpanlah ianya hanya pada diri kita saja dan tidak dikongsikan dengan orang lain atas niat kita yang pelbagai. Biar saja Allah yang menghitungnya.
Didik hati kita untuk merasa malu, jengkel dan rasa bersalah dengan Allah sekiranya amalan yang sangat baik ini kita jadikan sebagai "permainan dunia" untuk kita meraih populariti dan mengharapkan sesuatu yang lain di sebalik sedekah yang kita berikan, dalam erti kata lain, ada agenda tersembunyi. Allahuakbar, semoga kita dijauhkan daripada sifat munafik sebegini.
Tanamkan dalam diri kita betapa mahalnya nilai bersedekah secara senyap-senyap ni sehingga kita merebut untuk mendapat satu rasa bahagia di hati apabila kita mengamalkan sikap menutup segala perbuatan baik kita dalam bersedekah. Orang kata, biar kita nampak macam low profile saja sedangkan di sebaliknya itu kita istiqomah dalam bersedekah dan orang tidak tahupun tentang amalan baik yang kita lakukan itu, daripada kita mencanang perbuatan baik kita bersedekah itu dengan akhirnya tidak ada apa yang kita dapat melainkan dosa atas salah faham orang terhadap kita, juga dosa atas sebab hadirnya rasa ujub dan riak dalam diri. Lain lah kalau seseorang tu adalah public figure, wartawan atau pihak tertentu yang akan mengejar public figure berkenaan untuk mereka highlight kan di akhbar/penerbitan mereka dan perkongsian atau gambar yang tersebar itu bukan daripada kita sendiri, maksudnya bukan kita yang share sendiri.
1. Niat yang tulus dan ikhlas.
2. Membebaskan diri dari keraguan tentang jumlah
3. Merahsiakan
4. Tidak menyakiti hati dan perasaan orang yang kita beri.
5. Memberikan kepada yang tepat.
6. Berikan sesuatu yang terbaik, bukan kerana berlebih atau sisa, bekas.
7. Hanya mengharapkan redha Allah.
Justeru, rebutlah peluang untuk bersedekah dengan mengamalkan konsep sedekah secara diam-diam dan istiqomah. Tidak ada apa yang kita harapkan melalui sedekah kita itu kecuali keberkatan dan redha daripada Allah. Hindari diri kita daripada tenggelam dalam arus kemodenan dunia kini yang menjadikan sosial media sebagai tempat untuk menayang apa saja perbuatan baik kita tanpa tapisan mengikut lunas yang betul. Ketahuilah perbuatan sebegini hanya merugikan kita sendiri di sisi Allah Subhanahu Wa Ta'ala.
RZH
Comments
Post a Comment