Rutin setiap pagi bermula seperti kebiasaan. Sampai sahaja di ofis, saya terus log masuk melalui sistem kehadiran. Rutin kecil yang tanpa sedar menjadi suis kepada mod kerja. Sebelum benar-benar tenggelam dalam tugasan, thumbler dari beg kerja dicapai dan kopi yang siap dibancuh dari rumah dituang ke dalam mug. Aromanya masih segar, cukup untuk membangunkan fokus. Kopi dinikmati bersama karipap goreng yang memang digoreng siap dari rumah buat alas perut di awal pagi. Detik ringkas ini memberi ruang untuk memulakan langkah sebelum hari menjadi semakin padat.
Tadi ketika keluar rumah, satu perkara hampir membawa masalah...terpandang paras minyak kereta tinggal satu bar sahaja. Dalam hati terus terlintas, kalau diteruskan juga, memang cari pasal...haha..adoiiii.
Jadi saya lencong ke Petronas. Sambil mengisi minyak, mata tertarik pula dengan gerai jualan makanan pagi. Singgah sekejap, dan saya capai Laksam dan kuih kasui, dengan niat kuih kasui tu untuk diletakkan di meja juadah staf. Perkara kecil, tetapi cukup untuk menceriakan pagi dan menghidupkan suasana.
Selesai menikmati kopi, hari kerja bermula dengan lebih serius. Emel disemak satu persatu—membezakan yang perlu tindakan segera dan yang boleh ditangani kemudian. Di sela-sela itu, muncul tugasan yang perlu diberi perhatian segera: mengeluarkan jemputan mesyuarat. Sebelum jemputan dihantar, beberapa nama ahli mesyuarat disemak dengan teliti. Salah ejaan atau tersilap senarai boleh menimbulkan kekeliruan. Jadi, semakan perli dibuat berulang kali sebelum butang “hantar” ditekan.
Tidak lama kemudian, tumpuan beralih kepada penyediaan beberapa surat yang bersifat segera. Setiap surat memerlukan ketelitian daripada segi kandungan dan format. Dalam masa yang sama, ada staf yang datang berjumpa—ada yang mahu bertanya, ada yang mahu mendapatkan pandangan, dan ada juga yang membawa isu yang perlu diselesaikan segera. Walaupun kerja di meja semakin bertambah, melayan staf tetap menjadi keutamaan kerana di situlah komunikasi dan kepercayaan dibina.
Dalam sela kesibukan itu juga, saya mengambil masa untuk meneliti Pekeliling Pengurusan Latihan yang baharu dikeluarkan. Dokumen ini dibaca perlahan-lahan, dihadam satu demi satu. Beberapa perkara penting dicatat untuk rujukan, terutamanya keperluan menghadiri latihan sekurang-kurangnya 40 jam setahun. Keperluan ini bukan sekadar memenuhi syarat, tetapi peringatan bahawa pembelajaran berterusan adalah sebahagian daripada tanggungjawab profesional. Maklumat ini perlu difahami dengan jelas supaya dapat disampaikan dengan betul kepada staf kelak.
Menjelang tengah hari, fokus utama kembali kepada permohonan ABM yang perlu dihantar esok. Tugasan ini memerlukan perhatian penuh, jadi saya menyusunnya secara berperingkat—sedikit demi sedikit, tetapi konsisten. Pendekatan ini membantu mengurangkan tekanan dan memastikan kualiti kerja kekal terjaga.
Masuk ke sebelah petang, rentak kerja berubah kepada perbincangan bersama staf. Saya minta di update tentang status projek mengecat bangunan, diikuti dengan perancangan pembelian sofa dan kerusi baharu untuk staf di helpdesk bagi menggantikan kerusi lama yang sudah rosak. Pada saya, keselesaan staf bukan perkara remeh—ia berkait rapat dengan kesihatan, fokus dan semangat bekerja. Prinsip saya, staf perlu dijaga dan dihargai.
Akhirnya, tumpuan diberikan pula kepada semakan status penilaian prestasi. Dengan tarikh akhir yang tinggal dua hari sahaja, pemantauan dibuat dengan lebih teliti bagi memastikan semuanya berada di landasan yang betul. Proses ini penting untuk memastikan usaha dan pencapaian dinilai secara adil dan menyeluruh.
Daripada keseluruhan rutin ini, jelas bahawa produktiviti bukan sekadar tentang menyelesaikan banyak kerja, tetapi tentang mengurus keutamaan dengan bijak. Bermula dengan pagi yang tenang, diselitkan dengan perhatian kepada perincian, pembelajaran berterusan, serta keprihatinan terhadap staf—semua ini membantu mengekalkan momentum dan semangat. Apabila kerja diurus dengan teratur dan hati yang tenang, kesibukan tidak lagi terasa membebankan, sebaliknya menjadi perjalanan harian yang lebih indah dan bermakna.
Santai2 saja,
RZH.
Comments
Post a Comment