Sambal kelapa ni memang terkenal di Kelantan. Zaman saya kanak-kanak dulu, sambal kelapa ni memang pelengkapnya dengan nasi himpit. Arwah nenek saya dulu memang berniaga di kantin sekolah. Jadi salah satu menu rutin dan tetap adalah nasi himpit dengan kuah kacang dan dilengkapkan dengan sambal kelapa ni. Kebanyakan orang tua dulu-dulu memilih untuk makan nasi himpit dengan sambal kelapa ni sahaja tanpa kuah kacang. Mereka selalunya minta supaya kuah tidak dicampurkan sekali dengan sambal tu. Ada juga yang suka kuahnya dicampur sekali dengan sambal tu, macam gambar di bawah.
Tapi dunia sekarang ni, menu-menu sebegini perlahan-lahan sudah semakan 'pupus', kecuali di kawasan yang betul-betul di kampung-kampung di Kelantan yang masih ada lagi yang membuatnya. Kalau di kampung saya sudah jarang sekali peniaga membuatnya untuk dimakan bersama nasi himpit kuah kacang. Mungkin kerana penyediaannya yang agak rumit sedikit menjadikan lama-kelamaan orang muda-muda zaman sekarang lebih memilih untuk tidak lagi meneruskan budaya sambal kelapa ini. Saya percaya di beberapa tempat di belah utara, dan selatan juga mungkin di Pantai Barat, ada yang juga membuat sambal kelapa ini, tapi dengan versi masing-masing, dan saya pasti memang tak sama dengan sambal yang orang Kelantan makan dengan nasi himpit ni...
Justeru, untuk tidak menu ni hilang dan pupus begitu saja, biarlah saya kongsikan di sini cara-cara membuatnya. Mungkin ada kalangan pembaca yang masih berminat dengan menu ini dan ingin cuba membuatnya. Pada saya, sambal kelapa ni memang sangat sedap..boleh dimakan begitu saja dengan nasi juga, di samping dengan nasi himpit yang wajibnya.
Suka juga untuk saya maklumkan, di Kelantan juga ada beberapa jenis sambal kelapa ya. Sambal kelapa khusus untuk nasi kerabu lain pula cara membuatnya, khusus untuk inti roti atau kuih ketayap, itu lain pula caranya..dan beberapa lagi la. Yang saya kongsikan di sini yang khusus untuk nasi himpit ya. Sambal kelapa untuk nasi kerabu dan lain-lain tu nanti kita kongsi di entri yang lain ya.
Bahan-bahan:
1. Ikan sardin 2 ekor (ore kelate panggi ikan Selaye). Pilihan ikan yang lain adalah kembung atau selar (ikan selar boleh digunakan kalau ada ahli keluarga yang ada gout). Jangan guna ikan selaye sebab ikan selaye sangat bisa dengan orang berpenyakit gout. Tapi kalau nak lebih sedap rasanya, memang kena guna ikan selaye la sebab isi ikan ni lebih manis dan lemak untuk dibuat sambal.
2. Kelapa dua biji
3. Bawang merah 7 ulas
4. Halia setengah inci (sedikit sahaja)
5. Serai (saya tak taruk sebab nanti pecahan serai tu berserabut dalam sambal kelapa..tak payah taruk la)
6. Gula melaka/nise dua keping (ini memang wajib)
7. Gula sesudu besar
Cara-cara membuatnya:
1. Cuci bersih ikan dan toskan. Jangan lupa berselawat setiap kali kita memasak di dapur, terutamanya masa cuci bahan mentah, terutamanya yang berdarah ni. Cara ini sebenarnya secara tidak langsung menghilangkan hanyir kepada bahan mentah tadi.
2. Ikan direbus dalam 5 minit. Masuk dua tiga keping asam keping dan sesudu garam, juga air paras tenggelam ikan.
3. kelapa digoreng dengan api perlahan sehingga keperangan dan paling penting kena betul2 garing. Nak tahu kelapa dah garing, bila dipegang rasanya daah keras dan rangup. Biarkan seketika. Kelapa ini kemudiannya perlu ditumbuk lumat. Seakan macam kita buat kerisik tu, tapi jangan lumat sangat sampai pecah minyak seperti nak buat kerisik ya. Sekadar sudah lumat, maka sudah memadai.
4. Bawang merah dan halia ditumbuk lumat (mohon jangan blend ya)...memang kena tumbuk kot manapun, tak boleh malas-malas buat sambal kelapa ni, dia memang berseni cket...hehehe.
4. Bila dah lumat, masukkan nise tadi, tumbuk hingga jadi sebati dan macam berair cket, kemudiannya masukkan sedikit gula dan satu sudu teh garam. Bila gula dah hancur dan sebati, masukkan ikan rebus yang telah dipisahkan dari tulangnya (ambil isi sahaja). Tumbuk sehingga sebati dan berpalut elok antara keduanya.
5. Bahan pada perkara 4 digaul sebati dengan kelapa yang telah ditumbuk lumat tadi. Kemudiannya, adunan ini ditumbuk sekali lagi untuk sebatikan elok antara kelapa dan rencah bawang dan ikan tadi. Semasa membuat proses ini kebersihan sangat kena jaga. Ini penting untuk sambal kelapa kita tahan lama dan tidak cepat rosak dan berkulat. Pantangnya adalah jangan sekali2 disentuh dengan tangan, digaul dengan tangan, atau "dipeta'-peta'' dengan tangan ya, apa saja mesti guna sudu. Sambal ni boleh tahan sehingga sebulan kalau disimpan dalam peti sejuk. Kalau berada di luar peti sejuk, boleh tahan dalam empat lima hari juga. Tapi realitinya takkan sampai empat lima hari la, sebab cepat habis...hehehe.
Okey, maka siaplah sambal kelapa kita seperti gambar di atas, dan boleh dihidangkan bersama nasi himpit, atau dimakan dengan nasi putih biasa. Memang agak remeh sikit untuk membuatnya, tapi kalau kita buat dengan penuh kasih sayang yang rumit akan jadi mudah, yang malas akan jadi rajin...InshaAllah.
Salam Hormat
RZH
Saya komen sket eh...
ReplyDeleteLepas makan tumbuk org buat kalau x sedap.. ha4 gurau ek jgn marah
Lamo xmake sambal nyo nasi kapit..sedapnyo
ReplyDeleteTq . Lama cari recipe ni.
ReplyDeletetima kasih..
ReplyDeleteTq bg resepi..nt nk try cuba test lah.
ReplyDelete