Ada persahabatan yang lahir bukan sekadar kerana sering bertemu, tetapi kerana hati yang benar-benar saling memahami. Sebuah persahabatan itu adalah apabila kita pernah berada pada titik itu.
Bertahun berkongsi cerita, gelak tawa, rahsia, dan luka kehidupan. Terkadang sahabat itu bukan sekadar sahabat, tetapi seperti keluarga yang dipilih sendiri oleh takdir. Dalam banyak keadaan, kita sentiasa percaya bahawa persahabatan yang terjalin akan kekal utuh walau apa pun yang berlaku.
Sahabat akan membesar bersama dalam pelbagai fasa kehidupan. Saat susah, sahabat akan saling menguatkan. Saat jatuh, sahabat saling memimpin untuk bangkit. Kadang2 kita pernah meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada sahabat kerana kita percaya sebuah persahabatan yang lama tidak akan mudah goyah. Kita fikir keikhlasan dan nilai yang kita berikan, akan dibalas dengan nilai yang sama. Namun rupanya, tidak semua yang berjalan lama akan kekal setia sampai akhirnya.
Perubahan itu berlaku perlahan-lahan. Pada awalnya mungkin kita cuba menafikan apa yang dirasa. Sahabat kita semakin jauh walaupun jarak sebenarnya masih dekat. Cara dan sikap berubah. Sehingga kita mula sedar bahawa selama ini mungkin kita sahaja yang terlalu menghargai hubungan itu. Sedangkan baginya, persahabatan yang terjalin hanyalah sesuatu yang tidak berharga.
Yang paling menyakitkan bukanlah kehilangan seorang sahabat, tetapi menyedari bahawa keikhlasan kita tidak pernah benar-benar dihargai. Kita mungkin pernah mempertahankan dirinya, pernah menyimpan rahsianya, pernah membantu tanpa mengira penat dan kecewa. Namun semua itu seperti tidak membawa makna. Segalanya berubah.
Kadang-kadang kita tertanya, bagaimana seseorang yang pernah begitu rapat boleh berubah sedemikian rupa? Adakah waktu yang mengubah manusia, atau sebenarnya sikap itu sudah lama ada?
Persahabatan sepatutnya dibina atas kejujuran, saling menghormati, dan rasa menghargai. Tetapi apabila salah seorang mula bersikap tidak ikhlas, hubungan yang paling kuat sekalipun akhirnya akan retak sedikit demi sedikit.
Daripada sini, kita belajar bahawa tidak semua orang yang hadir lama dalam hidup kita benar-benar menghargai kehadiran kita. Ada yang hanya hadir kerana keadaan, bukan kerana hati. Bila keadaan berubah, mereka juga berubah. Dan ketika itu, kita mula memahami bahawa mempertahankan persahabatan seorang diri hanyalah sesuatu yang melelahkan.
Secara pandangan peribadi, saya tidak akan menyimpan orang yang tidak ikhlas dalam radar persahabatan hidup saya. Persahabatan bukan tentang siapa yang paling lama hadir, tetapi siapa yang benar-benar tulus ketika bersama. Jika dia memilih untuk pergi, saya tidak pernah menghalang. Kerana pada saya, menyimpan seseorang yang tidak ikhlas untuk terus berada dalam hidup kita jauh lebih menyakitkan daripada belajar melepaskannya perlahan-lahan.
Biarlah dia pergi. Saya tidak berminat untuk memaksa sebuah hubungan yang sudah kehilangan nilai kejujuran. Kadang-kadang melepaskan bukan bermaksud membenci, tetapi menghormati diri sendiri agar tidak terus terluka oleh sikap manusia yang tidak menghargai sebuah ikatan.
Bila kita dah sampai limit, kita tidak lagi marah. Kecewa itu masih ada, tetapi kita memilih untuk menerima bahawa tidak semua hubungan ditakdirkan kekal. Kita tetap menghargai segala kenangan yang pernah tercipta walaupun akhirnya ia hanya tinggal sisa cerita. Dari persahabatan itu, kita belajar bahawa keikhlasan adalah sesuatu yang mahal. Bukan semua orang mampu memilikinya, dan bukan semua orang tahu menghargainya.
Kadang-kadang, orang yang paling lama kita kenal juga boleh menjadi orang yang paling asing pada akhirnya. Namun kehidupan tetap perlu diteruskan. Kerana dalam setiap kehilangan, ada pengajaran yang mengajar kita untuk lebih berhati-hati dalam memberi seluruh hati kepada manusia.
Sekadar santai menulis,
RZH
Comments
Post a Comment