Pada awalnya, segalanya bermula dengan kemesraan yang sederhana. Pertemuan yang mungkin tidak dirancang, namun terasa begitu akrab seolah-olah sudah lama saling mengenali. Perbualan terjadi tanpa dipaksa, senyuman hadir dengan tulus, dan setiap detik terasa begitu hidup. Ada rasa selesa yang sukar dijelaskan, seolah-olah kehadiran itu membawa cahaya kecil dalam perjalanan hari-hari yang biasa. Ketika itu, kita tidak pernah terfikir bahawa setiap langkah yang diambil bersama sebenarnya sedang meninggalkan jejak-jejak kenangan yang perlahan-lahan terukir di dalam hati.
Hari-hari yang berlalu mula dipenuhi dengan cerita, tawa, dan perkongsian rasa. Dalam diam, kemesraan itu membina ruang yang istimewa dalam jiwa. Ada rasa dihargai, ada rasa difahami. Setiap kata dan perhatian yang diberikan seakan menjadi bukti bahawa hubungan itu bukan sekadar kebetulan. Kita berjalan seiring, tanpa memikirkan ke mana arah perjalanan itu akan berakhir. Yang penting ketika itu hanyalah menikmati setiap langkah yang ada, kerana semuanya terasa selesa dan bermakna.
Namun, seperti jejak di pasir pantai yang perlahan-lahan disentuh ombak, masa juga mempunyai caranya sendiri untuk mengubah segalanya. Tanpa disedari, jarak mula wujud di antara kata-kata yang dahulu begitu rapat. Perbualan yang dulu panjang kini semakin pendek, dan kehadiran yang dulu terasa dekat kini mulai samar. Tidak ada pertengkaran besar, tidak ada kata-kata yang melukakan. Hanya perubahan secara alami yang datang perlahan, seolah-olah takdir sedang mengalihkan arah perjalanan masing-masing.
Pada saat itu, hati mula belajar untuk memahami sesuatu yang tidak pernah diajar sebelumnya...tentang menerima. Menerima bahawa tidak semua pertemuan dicipta untuk kekal selamanya. Ada yang hadir hanya untuk memberi warna dalam sebahagian perjalanan hidup, kemudian pergi tanpa kita sempat menahannya. Pada awalnya, hati mungkin tertanya-tanya, mungkin juga cuba mencari sebab. Namun lama-kelamaan, persoalan itu sendiri menjadi semakin sunyi dan akhirnya terus menghilang.
Perlahan-lahan, rasa yang dahulu begitu kuat mula berubah menjadi ketenangan. Hati tidak lagi menuntut jawapan, tidak lagi mempersoalkan mengapa jejak itu semakin hilang. Sebaliknya, ia belajar untuk reda dengan segala yang telah berlaku. Kerana setiap kenangan yang pernah tercipta sebenarnya tetap hidup dalam ruang ingatan, walaupun langkah yang menciptanya sudah lama berhenti.
Akhirnya, kita sampai pada satu titik di mana segalanya diterima dengan lapang. Tidak lagi menggenggam apa yang ingin pergi, tidak lagi menahan apa yang sudah tertulis untuk berlalu. Kita hanya memandang ke belakang dengan senyuman yang tenang, menyedari bahawa jejak yang semakin menghilang itu pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan yang indah.
Dan di situlah letaknya kedewasaan hati...apabila kita mampu merelakan semua yang tersurat. Bukan kerana kita tidak lagi peduli, tetapi kerana kita memahami bahawa setiap pertemuan, setiap kemesraan, dan setiap perpisahan adalah sebahagian daripada cerita hidup yang telah ditakdirkan. Jejak itu mungkin semakin pudar, namun maknanya akan sentiasa tinggal di dalam hati, menjadi pengingat bahawa suatu ketika dahulu, kita pernah membina memori bersama...berjalan bersama di jalan yang sama.
Santai menulis,
RZH
Comments
Post a Comment