Sekian lama masa berlalu sejak saya berpisah dengan mantan boss yang pernah menjadi antara pemimpin terbaik dalam perjalanan kerjaya saya. Beliau pergi membawa langkah yang lebih besar, meninggalkan organisasi ini untuk meneruskan kepimpinan di peringkat tinggi, di beberapa agensi penting, termasuk sebuah kolej universiti. Dari jauh saya melihatnya terus maju — seorang wanita yang penuh keyakinan, berwibawa, dan tetap memancarkan aura kepimpinan yang tidak pernah pudar. Sekian lama khabar beliau hilang terus dari radar saya.
Tetapi hari ini, tiba2 saya mendapat khabar beliau dari seorang kenalan. Berita yang tiba sangat mengejurkan saya...bagai tak percaya. Rasanya menyentuh dada dengan kejutan dan kesedihan yang mendalam. Mendengar bahawa beliau kini sedang dirawat di hospital, dan lebih menyayat hati apabila dimaklumkan kedua-dua kakinya telah dipotong akibat komplikasi kencing manis — ia seperti sebuah takdir yang begitu berat untuk dibayangkan. Sukar percaya bahawa wanita yang dulu berjalan dengan penuh gaya, penuh tenaga, penuh keberanian, kini sedang berjuang dalam keadaan yang begitu mencabar.
Dalam kekalutan berita itu, terdengar juga khabar bahawa beliau telah melalui perceraian. Saya tidak pasti akan kebenarannya, namun dalam hati tetap terdetik simpati yang sangat dalam. Hidup kadang-kadang mengubah segalanya dalam cara yang tidak pernah kita duga — memetik kekuatan kita, menguji jiwa kita, dan memaksa kita menerima hakikat yang paling payah.
Namun sebelum semua ini, saya pernah menyimpan banyak kenangan manis di bawah kepimpinannya. Beliau bukan sekadar seorang boss; beliau seorang wanita yang hidup dengan penuh warna. Masih segar dalam ingatan saat saya perlu menguruskan program di Seoul, Korea — beliau sebagai Ketua Delegasi. Bila tugas selesai, kami jalan2 bersama menikmati malam di bandar yang tidak pernah tidur: lampu neon, udara sejuk yang menggigit pipi, dan cerita-cerita yang mengalir tanpa paksa.
Beliau ketika itu seorang wanita yang cantik, penuh karisma, dan tidak takut menjadi dirinya. Zaman mudanya — saya masih ingat — beliau agak daring... tetapi itulah dirinya: berani, yakin, dan elegan dengan cara yang hanya dia mampu bawa. Ada sesuatu pada cara beliau melangkah, cara beliau berbicara, cara beliau memimpin… semuanya mencipta kesan yang sukar dilupakan.
Hari ini apabila mengenang kembali semua memori itu, terasa perit untuk menerima bahawa hidup kadang-kadang menguji orang sekuat dia dalam bentuk yang begitu besar. Namun dalam diri saya, saya percaya — wanita yang pernah berdiri megah itu pasti masih menyimpan kekuatan yang sama di dalam dirinya. Kekuatan seorang pemimpin. Kekuatan seorang pejuang. Kekuatan seorang wanita yang pernah menakluk banyak cabaran sebelum ini.
Mungkin tubuhnya diuji, mungkin takdirnya berubah, namun saya percaya semangatnya tidak akan mudah patah.
Doa saya semoga Allah menguatkannya, memeluk hatinya dengan ketenangan, dan memberi kesembuhan yang mendalam. Semoga segala kenangan baik, segala bakti yang pernah ditaburkan, dan segala penghormatan yang pernah diterima akan kembali kepadanya sebagai doa dan kekuatan.
Kerana seorang seperti beliau —yang pernah menjadi inspirasi, yang pernah memberi ruang belajar, yang pernah memberi keyakinan kepada ramai —layak menerima doa yang paling indah daripada setiap hati yang pernah disentuhnya.
Dan hari ini, doa itu saya kirimkan sepenuh rasa, dari seorang staf yang pernah bekerja di bawah terajunya...sudah pasti saya tidak pernah melupakan kenangan di bawah pimpinannya.
RZH.
Comments
Post a Comment