Dalam kehidupan ini, terlalu banyak perkara yang berlaku. Kadang-kadang berlaku seperti yang kita rancang, dan kadang-kadang berlaku di luar perancangan kita. Kalau perkara itu dirancang, sudah pasti secara mental dan fizikalnya kita telah menyiapkan diri dan bersedia untuk menghadapinya. Namun, bagi perkara yang berlaku di luar perancangan kita, yang datang secara tba-tiba, maka semasa ini lah kita perlukan kekuatannya...kekuatan ini bukan boleh diraih dan dicari semudah yang disebut...mesti ada X-factor nya.
Antara X-factor yang kita perlukan adalah "semangat yng tidak pernah mengalah". Bagaimana kita nak melatih diri kita agar mempunyai ciri ini. Mudah untuk kita lafazkan, namun sebenarnya sukar untuk kita praktikkan dalam dunia realiti. Namun, adakah kita mempunyai pilihan lain? Jawapannya memang tiada. Bila berlaku sebarang ujian dan dugaan dalam hidup kita, atau ujian yang lebih besar lagi disebut sebagai malapetaka atau bencana, maka nak tak nak kita tetap jua perlu menghadapinya. Oleh kerana tiada pilihan, maka kita perlu melengkapkan diri sebaik mungkin untuk menghadapi situasi di luar jangka ini.
Justeru, kita perlu melatih diri daripada awal, agar "semangat yang tidak pernah mengalah" ini sentiasa ada dan aktif dalam diri kita bagi menghadapi saat-saat kritikal atau saat genting dalam kehidupan.
"Semangat yang tidak pernah mengalah" boleh kita tanam dan semai dalam diri dengan cara melakukan sejak dari awal perkara-perkara ini, malah ianya kita jadikan sebagai amalan rutin setiap hari. "semangat yang tidak pernah mengalah" ini antaranya , boleh kita capai melalui:
1. Doa yang tidak pernah putus kepada Allah, walau di saat gembira dan di saat diuji. Berdoalah secara khusyuk dan istiqamah.
2. Niat dan cara yang betul, hati perlu bersih. Memasang niat yang betul dan melaksanakannya juga perlu dgn cara yang betul. Hati mesti sentiasa bersih dari segala 'kekotoran'.
3. Sentiasa memuhasabah diri, cari kesilapan dalam diri kita dulu sebelum menuding jari kepada orang lain. Tingkatkan keimanan kepada Allah dengan melakukan perkara-perkara yang diredhai-Nya.
4. Sentiasa menginsafi diri, dengan menganggap bahawa kita semua ini adalah hamba Allah yang dipinjamkan buat sementara waktu di dunia ini untuk melaksanakan suruhannya sementara menuju ke destinasi terakhir di 'sana'. Justeru mengapa perlu kita menganggap ada perkara lain lagi yang lebih besar daripada itu.
5. Padamkan rasa keegoaan dan kesombongan dalam diri. Tanya diri untuk apa semua itu kita simpan dalam diri kita, tiada memberikan manfaatnya, melainkan kerugian semata-mata. Rasa ego dan sombong itu tidak akan membawa kita ke mana-mana, sebaliknya hanya melemahkan diri kita untuk menghadapi cabaran mendatang yang lebih besar. Bila perasaan ego dan sombong ada dalam diri, maka kita menganggap diri kita tidak boleh ditegur, kita semua yang betul dan kita menganggap hanya kita yang terbaik. Padahal, kita sebenarnya 'dibutakan' oleh rasa itu sehingga kita tidak nampak kebaikan dan kelebihan yang ada pada orang lain di sekeliling kita.
6. Sabar dan Redha. Ini memang sudah tentu perlu kita terapkan dalam diri kita. Sabar ini adalah suatu ciri yang boleh menahan kita daripada bertindak melebihi daripada apa yang sepatutnya kita lakukan. Sabar dan redha itu boleh memberikan kita suatu rasa ketenangan dan kedamaian. Dalam saat tenang dan damai, kita akan terus dapat berfikiran secara rasional dan seimbang. Ini yang penting, kerana banyak perkara dalam kehidupan ini, tanpa sabar dan redha, kita mudah tersasar dan hilang arah, kita akan memilih untuk melayan kedukaan dan kekecewaan atas apa jua ujian yang Allah berikan yang akhirnya menghancurkan segalanya. Sabar dan redha ini boleh kita capai, apabila kita menganggap segala apa yang berlaku itu adalah ujian Allah kepada kita kerana Allah sayangkan kita, dan Allah ingin memberikan ganjaran yang lebih baik kepada kita. Atau mungkin jua kerana Allah nak menghapuskan dosa-dosa kita yang pernah kita lakukan sama ada dengan sengaja atau tanpa sengaja. Maka bersyukurlah kerana kita masih tergolong dalam kalangan hamba Allah yang masih mendapat perhatian dan kasih sayang dari-Nya.
7. Berfikiran positif dan hindari diri daripada aura negatif. Sentiasa positif dalam kehidupan. lakukan perkara yang positif seperti berborak hanya yang positif, berfikir hanya yang positif. Sekat diri daripada berandaian dan berpersepsi negatif kerana bila diri kita dikelilingi dengan aura negatif, kita sebenarnya mengundang rasa tidak tenang dan kebimbangan hadir dalam diri kita sendiri. Untuk apa kita menyusahkan diri dengan berfikir benda negatif yang tidak pasti kebenarannya. Justeru elakkan diri daripada perasaan negatif ini kerana ia menjadikan diri kita tidak ceria, kemurungan dan hilang 'seri' pada air muka kita. Panggil sebanyak mungkin aura positif, kerana dengan aura positif, hidup kita akan sentiasa ceria dan gembira dan ini akan memberikan tenaga dan semangat yang luar biasa untuk kita terus memberikan tumpuan terbaik kita kepada ibadah, keluarga, karier dan khidmat sosial.
8. Ikhlas dalam apa jua yang dilakukan dan berani mengambil risiko. Istiqamah dengan apa yang kita lakukan. Keikhlasan ini akan memberikan suatu rasa keberanian dalam diri kita untuk melakukan sesuatu. Kita juga perlu istqamah dalam pendirian kita, dan bukan menjadi seperti lalang yang bergoyang mengikut angin, sekejap ke kanan dan sekejap ke kiri. Bila kita jelas denga pendirian kita, maka beranilah mengambil risiko atas apa yang kita lakukan. InshaAllah pertolongan Allah akan datang kepada kita nanti.
Saya percaya dengan adanya ciri-ciri ini dalam diri kita, maka kita tidak akan mudah mengalah dalam apa jua situasi yang berlaku. semangat juang kita akan tetap kuat untuk kita mencapai yang terbaik untuk diri kita dan semua pihak, di dunia dan di akhirat. Dan yang paling penting adalah, untuk kita terus mempunyai semangat dan kegembiraan untuk meneruskan kehidupan ini. Kebahagiaan dan ketenangan itu kunci segalanya.
RZH
Comments
Post a Comment